KPDN rampas kapal, lori tangki muatan diesel bernilai lebih RM1 juta

Iklan
Antara kapal yang dirampas setelah disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan minyak di pasaran gelap.

KEMAMAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas dua buah kapal dan dua lori tangki minyak dengan muatan 27,000 liter diesel yang disyaki cuba dijual ke pasaran gelap.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan itu dilakukan dalam serbuan di lokasi berbeza melibatkan dua buah jeti berdekatan Sungai Kuang, Chukai di sini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, serbuan tersebut dijalankan kira-kira jam 5 pagi pada Isnin selepas risikan dijalankan selama dua minggu.

Dua lori tangki dan dua kapal dirampas dalam serbuan ke atas dua jeti dekat Sungai Kuang, Chukai di Kemaman.

"Berdasarkan maklumat diterima, modus operandi dijalankan sindiket tersebut dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda sebelum dipindahkan ke lori tangki untuk dijual semula kepada pembeli di pasaran gelap.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kesemua kapal dan lori tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk berurusan dengan barang kawalan iaitu minyak diesel," katanya di sini, pada Isnin.

Saharuddin berkata, dalam serbuan itu seramai tujuh orang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 30-an hingga 40-an dan seorang warganegara Indonesia ditahan bagi membantu siasatan.

Iklan

Katanya, siasatan lanjut ke atas kes tersebut dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Saharuddin meninjau lokasi serbuan berdekatan jeti di Sungai Kuang, Chukai, Kemaman.

"Ketika serbuan dianggarkan kira-kira 10,000 liter minyak diesel telah dipindahkan dari kapal ke lori tangki menggunakan paip saluran getah.

"Nilai keseluruhan rampasan termasuk kapal dan lori tangki dianggarkan berjumlah RM1.7 juta," katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan, KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram itu.

Katanya, individu, syarikat dan pengusaha stesen minyak diingatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang ditetapkan.

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5 juta," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati terdapat aktiviti mencurigakan.

"Masyarakat disaran untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan memberikan kerjasama sekiranya mempunyai sebarang maklumat terutama berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

"KPDN juga akan sentiasa menggerakkan anggota penguat kuasa di lapangan dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan aktiviti haram ini dapat dibendung daripada terus berleluasa," ujarnya.