KUALA KANGSAR - Negara perlu segera membina bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja industri teknologi yang sedang berkembang pesat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.
Beliau berkata, negara ketika ini menerima pelbagai pelaburan khususnya berkaitan teknologi daripada syarikat-syarikat gergasi dunia yang bernilai berbilion ringgit antaranya Oracle, Amazon, Google dan Microsoft.
Menurutnya, perkara itu jelas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar dan pentadbiran kerajaan Madani yang menyokong pertumbuhan ekosistem teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).
"Namun pada masa sama, kemasukan pelaburan yang bernilai tinggi ini menuntut kita untuk segera membina kapasiti negara, khususnya dalam menawarkan bakat dan kemahiran yang boleh memenuhi permintaan tenaga kerja.
"Kita harus merebut peluang ini supaya kita dapat menaik taraf nilai ekonomi negara menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing di peringkat global," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Perak dan Malaysia Techlympics Peringkat Zon Utara 2024 di Dewan Jubli Perak di sini pada Isnin.
Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim.
Lih Kang berkata, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) kini menitikberatkan program pembudayaan seperti Minggu Sains Negara dan Malaysia Techlympics bagi menyokong silibus pendidikan formal yang dijalankan Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, kerjasama rapat ini penting untuk memupuk minat anak-anak dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus melahirkan lebih ramai jurutera, saintis, pakar teknologi, pengekod dan sebagainya.
"Aktiviti-aktiviti yang disediakan dalam program ini menggunapakai kaedah hands-on daripada pengamal serta pakar Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
"Melalui kaedah ini, pembelajaran berteraskan STI ini dapat disampaikan secara interaktif khususnya berkaitan pengaplikasian teknologi dalam kehidupan seharian," katanya.
Program dua hari bermula Isnin itu menyaksikan seramai 5,784 peserta dari 260 sekolah di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis terlibat dalam pelbagai aktiviti bermanfaat untuk perkembangan potensi dan kemahiran pelajar.
Sementara itu, dalam sidang media, Lih kang memberitahu, peningkatan kedudukan Malaysia ke tangga 33 berbanding 36 dalam Laporan Indeks Inovasi Global (GII) 2024 membuktikan kejayaan formula penubuhan Jawatankuasa STEM.
Ujarnya, jawatankuasa membabitkan penyertaan tiga kementerian iaitu MOSTI, KPM dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu meletakkan Malaysia di landasan betul ke arah sains dan teknologi.
"Kalau kita lihat dalam GII, negara kita berada di kedudukan 36 selama tiga tahun berturut-turut, tetapi tahun ini kita dapat naik tiga anak tangga untuk capai pada kedudukan ke-33.
"Sudah tentu kejayaan ini usaha bersama dari semua kementerian terlibat terutama melalui Jawatankuasa STEM.
"Saya harap pendekatan kerjasama antara kementerian ini akan kita kekalkan kerana sudah terbukti menampakkan keputusan yang lebih baik," katanya.