UiTM kekal status Raja Futsal IPT

Iklan
Skuad futsal UiTM mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) sekali lagi mengekalkan status Raja Futsal apabila mempertahankan kejuaraan Liga Futsal IPT (LFIPT) 2024 yang melabuhkan tirai di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

UiTM hadir dengan status juara edisi 2023 menamatkan saingan di kedudukan teratas Liga Super selepas mengumpul 25 mata manakala naib juara milik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan 23 mata diikuti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (17 mata).

Iklan
Iklan

Kejayaan itu membolehkan UiTM membawa pulang RM6,000, medal dan piala iringan, UKM (RM3,500) diikuti Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (RM2,500).

Berkongsi rahsia merangkul kejuaraan berturut-turut itu, pengurus skuad futsal lelaki UiTM, Mohammad Ezuan Othman menyifatkan persiapan rapi terutama latihan konsisten sejak awal tahun berjaya membentuk skuad yang mantap.

Skuad futsal wanita UiTM melengkapkan kejayaan berganda universiti berkenaan dalam saingan Liga Futsal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) kali ini.

Iklan

"Keserasian dalam kalangan pemain pula dibentuk dari tahun lalu. Cuma kali ini terdapat dua pemain baharu. Sokongan serta komitmen pegawai pasukan daripada jurulatih, penolong jurulatih, jurulatih kecergasan, fisioterapi, dan kitman juga memastikan pemain-pemain kita beraksi pada tahap terbaik masing-masing sepanjang pertandingan.

"Sokongan pihak pengurusan tertinggi UiTM khususnya Pusat Sukan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM turut juga memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan pasukan mengekalkan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Iklan

Kejuaraan anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapat kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku Pusat Sukan Tumpuan (PST) Futsal dalam menjayakan kejuaraan yang memasuki edisi ke-14 tahun ini.

Sebagai rekod, saingan Liga Super disertai 10 pasukan IPT, Liga Premier 10 pasukan manakala Liga Wanita disahut cabaran sembilan pasukan.

Status juara Liga Premier pula menjadi milik Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mengumpul 19 mata menyingkirkan cabaran Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kelebihan satu mata manakala tempat ketiga menjadi milik Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) FT (15 mata).

Status juara menyaksikan anak buah Muhammad Faris Mohd Sidek membawa pulang RM4,000, medal dan piala iringan, UMK (RM3,000) diikuti UTEM (RM2,500)

Naib juara 2023, UiTM pula merampas kejuaraan Liga Wanita apabila mengetepikan cabaran penyandang juara Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

UiTM muncul juara dengan kelebihan jaringan selepas kedua-dua pasukan terikat 21 mata manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula di kedudukan ketiga dengan 19 mata.

UiTM membawa pulang RM3,500, medal dan piala iringan, UPNM (RM2,500) manakala UPSI (RM1,500).