Hampir RM40 juta diperuntuk bagi projek di Sabah - Ahmad Maslan

Iklan
Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan memperuntukkan hampir RM40 juta bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur awam di Sabah termasuk pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Fasa 1A dan Fasa 1B.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kira-kira RM13 juta daripada jumlah itu merupakan projek infrastruktur di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) melibatkan 488 projek manakala LPB Fasa 1A dan Fasa 1B pula bernilai RM26.6 juta.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, 488 projek KKR itu termasuk 47 projek pembinaan jalan raya, jambatan dan bangunan dengan peruntukan RM5.78 juta, 200 projek infrastruktur desa dan wilayah (RM5.04 juta), 200 projek sekolah daif (RM1.71 juta) dan 41 projek klinik serta hospital berjumlah RM430,000.

"Projek ini dikendalikan KKR dan Kementerian Kewangan serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah untuk manfaat negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu Pejabat JKR Sabah di sini pada Isnin.

Iklan

Sementara itu, beliau berharap kelewatan pembinaan Fasa 1A LPB tidak akan berulang dalam Fasa 1B dengan berpandukan kepada objektif 5K iaitu kesejahteraan rakyat, kepantasan tindakan, kos yang munasabah, kualiti yang terjamin dan kebitaraan inovasi.

Beliau berkata, untuk mencapai 5K itu perlu ada pasukan 'ABCDE' iaitu akrab, bijaksana, cekap, dedikasi dan etika yang tinggi kerana kerajaan MADANI amat menitikberatkan soal tatakelola.

Iklan

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pengguna jalan raya juga boleh memuat naik aplikasi MYJalan bagi membolehkan mereka membuat aduan kerosakan jalan raya agar tindakan segera dapat diambil.

"Aplikasi ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lepas lagi dan saya harap ia akan dimanfaatkan,” katanya. - Bernama