Melaka negeri terbaru terjejas banjir

Iklan

KUALA LUMPUR - Melaka menjadi negeri terbaharu terjejas banjir apabila 16 mangsa daripada tiga keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) tengah hari tadi, menjadikan jumlah negeri terjejas banjir setakat petang ini, meningkat kepada lima.

Di MELAKA, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka dalam kenyataan memaklumkan PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tehel di Jasin, dibuka 12 tengah hari tadi.

Iklan
Iklan

Di JOHOR, jumlah mangsa menurun kepada 530 mangsa daripada 147 keluarga setakat 4 petang ini, berbanding 808 mangsa daripada 240 keluarga pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan berkata penurunan itu, susulan empat PPS iaitu PPS SK Dato' Onn Jaafar, SK Seri Kampung Renggam, SK Simpang Renggam dan SK Seri Kencana, kesemuanya di Kluang, ditutup.

Iklan

Beliau berkata setakat ini, empat PPS masih beroperasi di Kluang, tiga di Pontian dan satu di Batu Pahat.

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 325 orang daripada 93 keluarga berbanding 338 orang daripada 100 keluarga pagi tadi.

Iklan

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, kesemua mangsa dari daerah Kubang Pasu dan Pendang itu, kini ditempatkan di tiga PPS.

"Di daerah Kubang Pasu, seramai 184 orang daripada 62 keluarga ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun dan Dewan PPK Lubuk Batu, manakala di daerah Pendang seramai 141 orang daripada 31 keluarga ditempatkan di Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah,” katanya.

Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Sungai Bata di Kampung Bata dan Sungai Padang Terap di Kepala Batas serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR, Kota Setar telah melepasi paras bahaya.

Di PERAK, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan mangsa banjir berkurangan kepada 303 orang daripada 84 keluarga dan ditempatkan di empat PPS berbanding 304 orang daripada 83 keluarga pagi tadi dan kesemua mangsa masih berlindung di PPS di daerah Larut, Matang dan Selama, Kerian dan Hilir Perak.

"Di daerah Kerian, 63 orang daripada 18 keluarga ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak manakala 50 orang daripada 15 keluarga di SK Parit Haji Aman di Bagan Serai.

"Di Taiping, mangsa banjir di SK Matang turut kekal 50 orang daripada 15 keluarga ditempatkan di SK Matang di Taiping manakala 140 orang daripada 35 keluarga berada di Dewan Serbaguna Padang Tembak di Teluk Intan,” menurut sekretariat itu.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir yang masih berlindung di tiga PPS di dua daerah iaitu Gombak dan Kuala Selangor, petang ini kekal 248 mangsa daripada 50 keluarga.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, tiga PPS berkenaan ialah Dewan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Sri Kundang, SK Ijok dan SK Bukit Badong. - Bernama