Projek Paip Agihan Air Kemaman-Gebeng hampir 100 peratus siap

Iklan
Wan Rosdy

KUANTAN - Projek Paip Agihan Air dari Kemaman ke Gebeng (Pakej1 dan 2) kini telah 99.7 peratus siap dan dalam proses pengujian dan pentauliahan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek bernilai RM115 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada November depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, projek tersebut akan dapat membantu menyediakan bekalan air yang stabil dengan kapasiti simpanan air mencukupi bagi memenuhi keperluan komersial dan domestik di kawasan penempatan yang tinggi menjelang 2025.

"Keperluan itu mencakupi terutama di kawasan perindustrian Gebeng dan Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP).

Iklan

"Dengan siapnya projek yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini, insya-ALLAH bekalan air di kawasan perindustrian Gebeng dan penduduk sekitarnya tidak akan terjejas di masa akan datang," katanya.

Wan Rosdy (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang di Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ICC ECER) Negeri Pahang di Kuala Lumpur pada Isnin.

Iklan

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang; Datuk Seri Zulkifli Yaacob; Pengarah Pembangunan Negeri Pahang; Datuk Fadzilla Salleh dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Ali Syahbana Sabaruddin.

Ujar beliau, dengan peningkatan infrastruktur tersebut, projek-projek pelaburan baharu akan dapat diteruskan seperti pembangunan MCKIP 3 yang kini dalam pelaksanaan dan dijangka siap pada Julai 2025.

Jelasnya, kerajaan negeri juga akan terus komited untuk melaksanakan pelbagai lagi projek bekalan air di seluruh negeri bagi memastikan rakyat menikmati bekalan air dengan baik dan sejahtera di masa akan datang.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, ECERDC terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang setelah melepasi sasaran pelaburan 2024 dengan merealisasikan pelaburan berjumlah RM10.2 bilion.

Katanya, jumlah tersebut mengatasi jumlah sasaran iaitu RM5.7 bilion untuk tahun ini.

"Secara keseluruhan, 80 peratus dari pelaburan ini disumbangkan oleh sektor pembuatan, diikuti oleh sektor minyak dan gas serta hartanah sekali gus menjana 3,342 peluang pekerjaan dan membuka 158 prospek keusahawanan.

"Kepelbagaian portfolio ini memperlihatkan usaha berterusan Pahang dalam memperkukuh sektor ekonominya sambil memanfaatkan kekuatan industri yang sedia ada," jelas beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, pihaknya komited untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi di Pahang dengan memperkukuhkan program latihan 'reskilling and upskilling' bagi memastikan tenaga kerja tempatan memiliki kemahiran teknikal yang selaras dengan keperluan industri.

Ujarnya, inisiatif-inisiatif itu penting untuk meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja tempatan sekali gus memenuhi keperluan pelabur berpotensi yang mencari tenaga kerja yang mahir dan pantas menyesuaikan diri.

"Melalui program ini, bukan sahaja peluang pekerjaan yang mampan dapat diwujudkan, malah ia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke negeri ini,” katanya lagi.

Selain paip air dan MCKIP 3, turut dijalankan projek menaik taraf Bandar Diraja Pekan, termasuk pemulihan bangunan lama dan kawasan sekitarnya yang dijadualkan siap pada 14 November 2024.

ECERDC juga kini sedang menaik taraf Pusat Konservasi dan Informasi Penyu (TCIC) di Cherating, Pahang, yang dijangka siap pada April 2025.

Projek tersebut bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan pemuliharaan penyu dan mencapai sasaran seramai 120,000 pengunjung pada tahun 2025.