JEMPOL - Eksekutif pembinaan kerugian RM280,000 selepas diperdaya individu menyamar pegawai polis yang dikenali sebagai Datuk Chin dalam kejadian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, kejadian pada jam 10.41 pagi itu bermula apabila pengadu seorang wanita berusia 32 tahun menerima panggilan telefon bernombor 011-16336419.
"Pemanggil berkenaan memperkenalkan dirinya sebagai Inspektor Yong dari Melaka dan mengatakan pengadu telah terlibat dalam dua kes iaitu sewa kad bank dan cuci wang haram.
"Pengadu menafikan hal itu sebelum panggilan pengadu disambungkan kepada anggota polis nama tidak pasti dan beritahu perkara yang sama," katanya pada Isnin.
Chang Hook berkata, seterusnya pengadu disambungkan pula panggilan kepada pegawai polis yang bernama 'Datuk Chin' dari Kontinjen Melaka.
"'Datuk Chin' beritahu beliau telah menjumpai 200 kad pengenalan dan satu kad pengenalan adalah milik pengadu namun dinafikan oleh pengadu.
"Datuk berkenaan mahu menjalankan siasatan terperinci kewangan lalu meminta pengadu untuk membuat pindahan semua wangnya di dalam akaun bank bagi audit untuk memastikan dana pengadu bersih dan tidak terlibat dengan pengubahan wang haram," katanya.
Ujarnya, pengadu telah masukan wang berjumlah RM280,000 ke dalam enam akaun yang berbeza.
"Pengadu kemudianya diminta lagi membuat bayaran tambahan tetapi pengadu tidak menurutinya kerana rasa curiga lalu membuat panggilan ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Melaka untuk membuat semakan.
"Pihak polis memberitahu dimana pengadu telah ditipu oleh orang yang tidak dikenali melalui panggilan telefon. Pengadu rasa diri ditipu lalu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil siasatan awal dapati pengadu telah terpedaya dalam panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai polis dan mengalami kerugian RM280,000. Kes seterusnya disiasa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.