Pegawai KPDN menyamar, cekup lelaki jual minyak masak peket, gula harga tinggi

Iklan
Minyak masak peket bersubsidi dirampas dalam Ops Tiris di sebuah rumah di Taman Hings Jalan Kobusak, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Taktik pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menyamar sebagai pelanggan membeli minyak masak peket bersubidi dan gula pasir kasar yang dijual dengan harga tidak munasabah berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan dalam Ops Tiris di sebuah rumah Taman Hings Jalan Kobusak di sini pada Ahad.

Dalam operasi jam 7 malam itu, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dan sebanyak 8,177 kilogram (kg) minyak masak peket dan 48kg gula pasir kasar turut dirampas di rumah tersebut.

Iklan
Iklan

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawainya telah membuat serbuan hasil daripada maklumat awam berhubung penjualan minyak masak peket bersubsidi dalam kuantiti yang banyak dan harga yang tidak munasabah di platform media sosial.

"Penyamaran dilakukan oleh pegawai penguat kuasa dengan cara menjadi pelanggan dan telah diarahkan oleh penjual untuk datang ke alamat yang telah diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

Iklan

"Serbuan kemudian telah dilakukan serta-merta semasa transaksi jual beli berlaku dan hasil pemeriksaan lanjut menemui minyak masak peket bersubsidi pelbagai jenama dan gula pasir kasar yang disimpan di kawasan kaki lima rumah serta ruang tamu rumah berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya lagi, kesemua minyak masak peket dan gula pasir kasar disita bagi tujuan siasatan lanjut kerana penjaga permis gagal menunjukkan sebarang dokumen atau kebenaran daripada KPDN untuk membeli dan menyimpan kedua-dua bahan tersebut.

Pegawai penguat kuasa KPDN memeriksa minyak masak peket bersubsidi di sebuah rumah di Taman Hings Jalan Kobusak, Kota Kinabalu.

Iklan

"Siasatan juga mendapati, minyak masak tersebut dijual RM65 sekotak iaitu terdapat 17 peket berbanding harga kawalan adalah RM42.50 bagi jumlah yang sama.

"Sehubungan itu, nilai sitaan keseluruhan adalah berjumlah RM20,579.30 dan seorang penjaga premis ditahan bagi tujuan membantu siasatan," katanya.

Georgie menegaskan, kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan iaitu minyak masak dan gula pasir kasar dengan tujuan untuk melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

"Mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi syarikat pula, jika disabit kesalahan boleh membawa hukuman denda tidak lebih RM2 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya tidak lebih RM5 juta," katanya.

Tegasnya lagi, KPDN Sabah akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan terhadap semua kegiatan berkaitan barang kawalan di negeri ini bagi memastikan tiada sebarang penyelewengan terhadap barang kawalan tersebut.