Murid sekolah berkomunikasi dengan angkasawan di ISS

Iklan
Keratan video murid SK Hisamuddin Alam Shah berkomunikasi secara langsung dengan Angkasawan wanita Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Kapten Sunita Williams. Foto Facebook Planetarium Negara

KUALA LUMPUR - Hari ini menjadi hari yang amat bermakna buat 10 murid Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah, Kuala Lumpur, apabila mereka berpeluang berkomunikasi secara langsung dengan Angkasawan wanita Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Kapten Sunita Williams.

Peluang yang hadir menerusi program ISS Contact 2024 yang diadakan di Planetarium Negara itu pastinya memberikan pengalaman istimewa buat kesemua mereka yang terdiri daripada murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah Kanan Planetarium Negara, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, menerusi program itu, murid diberikan peluang bertanya soalan dan berbual dengan Sunita yang kini berada di Stesen Angkasa Antarabangsa menerusi Stesen Radio Amatur.

"Kita telah berkomunikasi secara langsung selama sembilan hingga 10 minit dengan ISS yang berada di antara 300 hingga 435 kilometer (km) dari permukaan bumi yang berkelajuan 26,700km sejam. Saya harap semoga inisiatif ini menjadi inspirasi kepada mereka untuk minat bidang angkasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Iklan

Program ISS Contact 2024 merupakan program tahunan dan diadakan sempena sambutan Minggu Angkasa Sedunia ke-24 anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bermula 4 hingga 10 Oktober.

Bertemakan ‘angkasa dan perubahan iklim’, program tersebut menyokong inisiatif pengukuhan pembudayaan Sains, Teknologi, dan Inovasi (STI) dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) iaitu memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi untuk transformasi sosioekonomi dan pertumbuhan inklusif.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Zamri Shah berkata murid juga diberi peluang mendalami bidang teknologi radio yang digunakan di Stesen Radio Amatur untuk mengkaji perubahan iklim dunia.

"Kami (Planetarium Negara) berharap program seperti ini dapat menggalakkan murid menceburi bidang teknologi radio selain dapat memahami ilmu sains angkasa dan perubahan iklim di masa hadapan,” katanya. - Bernama