ISTANBUL - Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar Israel akan membayar harga untuk 'pembunuhan beramai-ramai' ketika memperingati ulang tahun pertama serangan dan genosid oleh rejim itu keatas Gaza pada 7 Oktober tahun lalu.
"Tidak boleh dilupakan, lambat laun Israel akan membayar harga untuk pembunuhan beramai-ramai yang telah dilakukannya selama setahun dan kini masih berterusan,” katanya menerusi hantaran di aplikasi X.
Iklan
Iklan
Sebagai seorang yang lantang memperjuangkan kebebasan Palestin dan Hamas, Erdogan sering 'menyerang' Israel dengan menggelarkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu sebagai 'penjual daging Gaza' dan membandingkannya dengan Adolf Hitler dari Nazi Jerman.
"Sama seperti Hitler dihalang oleh pakatan kemanusiaan, Netanyahu dan rangkaian pembunuhannya akan dihentikan dengan cara yang sama," tegasnya.
Dalam pada itu pemimpin Turkiye berkenaan turut mengkritik kegagalan sistem antarabangsa untuk menghentikan konflik di Gaza dan kini di Lubnan.
Malah beliau menyifatkan dasar pembunuhan beramai-ramai, pendudukan dan pencerobohan Israel yang telah lama wujud mesti berakhir.
"Apa yang berlaku, pembunuhan beramai-ramai di hadapan mata seluruh dunia selama genap setahun ini sebenarnya (melibatkan) seluruh umat manusia dan semua harapan manusia untuk masa depan," ujarnya. - AFP