KUALA LUMPUR- Kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota tidak akan menjadikan UMNO angkuh dan bongkak.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya kemenangan itu memastikan mandat yang diberikan rakyat dilaksanakan sebaik mungkin dengan penuh tawaduk dan beramanah.
Menurutnya, kemenangan di DUN Mahkota juga memberikan isyarat jelas bahawa rakyat menerima baik model kerjasama Kerajaan Perpaduan berteraskan prinsip kesederhanaan, toleransi, tidak ekstrem dalam memainkan sentimen agama mahupun bangsa yang boleh memudaratkan keharmonian rakyat berbilang kaum.
"Mesyuarat bersetuju untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dan gerak kerja bersama di kalangan parti-parti komponen di dalam Kerajaan Perpaduan sebagai satu manifestasi keseriusan dan komitmen UMNO bagi memastikan kelangsungan kestabilan politik, kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Isnin.
"Ahli UMNO di semua peringkat diminta untuk berada pada tahap kesiapsiagaan yang tinggi bagi membantu rakyat tanpa mengira ideologi parti mahupun kaum sebagaimana tradisi UMNO sejak dahulu dalam menghadapi sebarang musibah bencana alam khususnya musim tengkujuh yang mendatang,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, UMNO mengucapkan penghargaan kepada pengundi DUN Mahkota atas kepercayaan yang diberikan kepada Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kerusi tersebut dengan majoriti yang amat besar dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini.
"UMNO merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh jentera parti Kerajaan Perpaduan termasuk rakan-rakan parti komponen BN, Friends of BN dan Pakatan Harapan yang bekerja kuat sebagai satu pasukan hingga berjaya meyakinkan pengundi di DUN Mahkota,” katanya.
Pada PRK 26 Oktober lalu, BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 20,648 selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah meraih 27,995 undi, menewaskan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar dengan 7,347 undi.