366 hari Gaza berdarah: Hanya menanti keajaiban ALLAH SWT

Iklan
Keadaan sekitar kawasan rumah bapa mertua Nurul Ain

SHAH ALAM -"Tiada perkataan yang sesuai untuk kami gambarkan (keadaan terkini Gaza). Apa yang saya dan suami hadapi di sana sebelum ini tidak sampai 10 peratus kesusahannya berbanding keadaan sekarang.”

Iklan
Iklan

Demikian menurut rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 38, yang berkongsi gambaran terkini Gaza setelah genap setahun pencerobohan dilakukan tentera Israel.

Nurul Ain berkata, ketika ini, tiada bangunan tidak dimusnahkan rejim Zionis dengan 85 peratus rumah yang menjadi tempat pelindungan penduduk Palestin musnah sepenuhnya.

Rumah bapa saudara kepada suami Nurul Ain sebelum dibedil tentera Israel baru-baru ini (kiri), rumah bapa saudara kepada suami Nurul Ain musnah selepas dibedil tentera Israel baru-baru ini.

Iklan

"Tiada apa-apa kemudahan bagi mereka, 85 peratus rumah di sana musnah sama sekali.

"Ramai kanak-kanak sekarang ada penyakit kulit, dewasa pula hadapi jangkitan disebabkan sukar dapat bekalan air bersih.

Iklan

"83 peratus daripada bekalan perubatan dalam hospital tiada. 60 peratus daripadanya kosong sepenuhnya,” kongsinya kepada Sinar Harian.

Keadaan khemah bantuan makanan digerakkan keluarga ipar Nurul Ain di Gaza

Nurul Ain yang berhubung rapat dengan keluarga mertuanya di Gaza bagi menggerakkan bantuan turut berkongsi keadaan sosial penduduk Gaza ketika ini yang menyaksikan kanak-kanak lelaki kini mengambil tugas orang dewasa keluar mencari sumber demi meneruskan kehidupan.

Katanya, rakyat Palestin di sana tidak mampu membeli makanan bahkan tanaman juga dihancurkan.

Rakyat Palestin berlari memegang bekas makanan untuk mendapatkan makanan yang diberi percuma

"Hari-hari kanak-kanak ini akan keluar mencari air, kertas dan kayu untuk memasak. Ada yang tidak mampu akan keluar mencari makanan yang diberi percuma.

"Mereka sanggup berjalan kaki selama satu jam bila tahu team saya ada beri makanan. Ada yang bila abang ipar saya tanya, dah tiga hari tidak makan, ada yang makan sehari sekali, itu pun hanya setengah roti sebab catu makan.

"Saya secara peribadi memberi bantuan makanan, walaupun hantar sumbangan RM20,000 masih tidak cukup untuk beri makan bagi satu kawasan.

"Sekarang susah juga nak dapatkan sumbangan, jadi apa yang kami beri hanya untuk sekali makan,” ceritanya.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

Tambahnya lagi, abang iparnya juga memberitahu, serangan daripada tentera Israel masih berterusan ke atas kawasan penduduk terutamanya pada waktu malam bahkan ada ketikanya berlaku setiap beberapa minit.

"Tiga hari lalu rumah bapa saudara suami juga dibedil ketika mereka hanya beberapa langkah keluar dari rumah, Alhamdulillah mereka selamat.

"Walaupun keadaan di Gaza semakin buruk, rakyat Palestin seperti biasa. Mereka terus memuji kebesaran ALLAH SWT dan ungkapkan bahawa ALLAH SWT adalah sebaik-baik pertolongan,” luahnya.

Ditanya tentang harapan bagi Palestin dan rakyatnya, Nurul Ain menyifatkan dengan keadaan yang amat menyedihkan di Gaza, belum nampak sinar tentang genjatan senjata.

"Kami hanya menanti keajaiban dari ALLAH SWT.

"Andainya genosid ini tamat, harap kita dapat bantu bangunkan kembali Gaza,” tambahnya.