KOTA BHARU - Pemain skuad kebangsaan Palestin, Oday Kharoub menyimpan harapan besar agar peperangan dan dapat kembali berkumpul bersama keluarga.
Oday atau nama sebenarnya Oday Ali Abdulrahim Kharoub turut menyatakan rasa sedih terhadap peperangan di Gaza yang sudah berlarutan selama setahun.
"Saya berharap perang ini dihentikan dan Palestin kembali aman untuk kami sekeluarga kembali bertemu.
"Sesiapapun akan sedih melihat dan merasai tanah air diserang sebegini, bahkan penduduk Palestin yang menjadi mangsa, kehilangan ahli keluarga mengalami kesedihan yang lebih dahsyat,” katanya kepada Sinar Harian.
Sepanjang peperangan, kata Oday yang sudah berkahwin dan mempunyai dua cahaya mata itu bersyukur kepada ALLAH SWT kerana tidak ada ahli keluarga terdekat yang terkorban.
Bagaimanapun, kata beliau, ramai saudara jauh mereka yang menjadi mangsa hingga jumlahnya tidak terkira.
"Masih ramai ahli keluarga saya yang tinggal di sana dan mereka terdiri dari golongan kanak-kanak sehinggalah orang tua.
"Kesemua mereka berada dalam keadaan ketakutan dan sentiasa berjaga-jaga dengan serangan Zionis,” katanya.
Beliau kini beraksi sebagai pemain tengah pasukan Kelantan Darul Naim (KDN) FC juga kapten pasukan tersebut.
Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, jauh di sudut hatinya juga masih berkeinginan untuk beraksi dan bermain bola sepak di negara sendiri.
"Dalam keadaan ini, saya tetap cuba yang terbaik untuk melunaskan tanggungjawab saya kepada KDN FC walaupun hati sebak memikirkan Palestin,” katanya.
Oday antara import paling ‘menjadi’ dengan mempamerkan aksi cemerlang sepanjang Liga Super 2024/25 sejak beraksi bersama KDN FC bermula Mac lalu.
Selepas beliau, abangnya, Layth, 33, pula menjadi pilihan KDN FC dan menjadi import terbaharu pasukan sama pada Ogos lalu.