Hanya seorang yang buat kecoh, tergamak 'halalkan' kezaliman di Gaza

Iklan
Duta Palestin sahkan wanita (gambar kanan) yang muncul dalam video permohonan maaf merupakan salah seorang daripada dua wanita Palestin yang terlibat dalam pertengkaran dengan pegawai keselamatan di Wisma Transit, Kuala Lumpur.

MERAK Jalanan tahu ramai yang marah dengan perbuatan seorang wanita Palestin mengamuk di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) tempoh hari.

Sudahlah dibantu, tetapi dibalas dengan kelakuan tidak baik terhadap pegawai penguat kuasa kita sehingga merosakkan harta benda premis.

Iklan
Iklan

Puncanya kerana wanita dikenali sebagai Aminah Muhammad Nafi Jamal Abd Rabah itu kecewa tidak dibenarkan menginap di luar WTKL.

Aminah dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali bagaimanapun sudah memohon maaf berhubung peristiwa tersebut. Dakwa mereka, perbuatan di luar kawalan itu berlaku disebabkan rasa tertekan Aminah memikirkan keadaan anaknya yang masih berada di Gaza.

Iklan

Merak Jalanan terpanggil untuk menyentuh isu ini selepas terbaca di media sosial, ramai yang memukul rata mengecam rakyat Palestin akibat perbuatan Aminah itu.

"Kalau macam ini, dari dulu lagi aku berhenti boikot (produk Israel).” Salah satu komen netizen yang membuatkan Merak Jalanan geleng kepala. Cuma setakat ini belum nampak ada netizen secara terbuka menyokong Israel gara-gara marah dengan perbuatan Aminah.

Iklan

Merak Jalanan nak ingatkan orang kita, marah macam mana sekali pun, janganlah cepat melenting.

Yang membuat kecoh itu hanya seorang. Jauh sekali jumlah lebih 40,000 rakyat Palestin terkorban di Gaza dan hampir 100,000 orang yang tercedera.

Tak adil jika kita melabelkan semua rakyat Palestin ini sama sikapnya seperti Aminah.

Pun begitu, Merak Jalanan setuju pendapat seorang rakan, jika perbuatan wanita Palestin itu melanggar undang-undang negara, pihak berkuasa perlu ambil tindakan seperti orang lain juga.

Jangan jadikan sentimen kemanusiaan sebagai lesen kepada mereka untuk bebas berbuat apa sahaja di negara ini.