Guna bahasa Inggeris nampak lebih gah, bijak?

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad lalu menegur segelintir kelompok elit yang taasub menggunakan bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak.

Iklan
Iklan

Menurut Anwar, keghairahan kelompok tersebut yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan bahasa Inggeris adalah salah.

Kenyataan Perdana Menteri ini semestinya disambut baik oleh pencinta bahasa Melayu terutama golongan pakar yang bimbang dengan penggunaan bahasa Melayu yang semakin ‘tenat’ dan terpinggir.

Iklan

Walaupun Perdana Menteri tidak mengulas lanjut mengenai golongan elit yang dimaksudkan, namun kita sendiri sudah melihat sejauh mana bahasa Melayu semakin tidak dijadikan keutamaan dalam acara-acara besar.

Lihat sahaja, penganjuran majlis-majlis, bahasa Inggeris digunakan secara meluas untuk menampakkan program lebih gah.

Bagi syarikat korporat pula, bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa perantara termasuk ketika bermesyuarat.

Iklan

Ketika sesi temu duga mencari pekerja juga, penemu duga cenderung berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris kerana masih beranggapan calon yang fasih berbahasa Inggeris lebih bijak dan pandai buat kerja.

Lebih membimbangkan apabila rancangan di televisyen dan radio kini banyak mengagungkan bahasa Inggeris, atau paling tidak pun bahasa Melayu yang ‘dirojakkan’.

Pun begitu, tidak dinafikan dalam kes-kes tertentu penggunaan bahasa Inggeris adalah perlu. Misalnya, pekerja syarikat berurusan dengan pelanggan antarabangsa, ahli akademik mengajar di universiti atau syarikat pelancongan yang berurusan dengan pelancong luar.

Justeru, teguran Perdana Menteri itu wajar diketengahkan supaya penggunaan bahasa Melayu diperluaskan di negara ini.

Mungkin ia perlu dimulakan dalam kalangan menteri-menteri terlebih dahulu, disusuli di jabatan-jabatan kerajaan.

Mungkin ramai yang masih ingat, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menjadi Perdana Menteri pernah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, Amerika Syarikat.