Gilap permata negara jadi berlian

Iklan
Izz Imil Shahrom (kiri) dan Adi Putra antara murid pintar yang menggemparkan negara.

BERMULA September lalu, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih mula mendaftarkan diri untuk kemasukan sesi baharu di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).

Seramai 159,027 lepasan SPM 2023 ditawarkan ke tempat bagi melanjutkan pengajian di IPTA. Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, daripada jumlah terbabit, seramai 83,667 calon ditawarkan di universiti awam, manakala 43,531 calon ditawarkan di Politeknik, 26,474 Kolej Komuniti dan 5,355 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

Iklan
Iklan

Namun dalam kalangan ratusan ribu pelajar itu, seorang budak berusia 12 tahun mencuri perhatian rakyat Malaysia apabila mendaftar masuk ke Universiti Malaya (UM).

Kanak-kanak itu mencatat sejarah apabila menjadi pelajar termuda yang pernah diterima UM sejak penubuhannya pada tahun 1962.

Iklan

Izz Imil Shahrom akan mengikuti pengajian Sarjana Muda Sains dalam Matematik.

Berdasarkan perkongsian Fatimah Kari di Facebook, Izz Imil memasuki Tingkatan Satu di Permata Pintar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika berusia enam tahun, seterusnya belajar O Level pada usia lapan tahun dan A Level pada usia 11 tahun.

Iklan

Walaupun menghidap autisme, kanak-kanak itu dilaporkan memiliki kebolehan menakjubkan apabila berupaya menyelesaikan soalan Matematik dan Kimia Tingkatan Empat.

Keupayaan luar biasa kanak-kanak lelaki itu dikesan ibunya, Ilyah Abdul Aziz dan bapanya, Imil Shahrom Abdul Ghani, apabila menyedari dia menunjukkan minat terhadap angka sejak berusia tiga tahun.

Budak genius

Selain Izz Imil, ramai lagi pelajar pintar yang pernah menggemparkan negara satu ketika dulu seperti Sufiah Yusuf, Chiang Ti Ming dan Adi Putra.

Kisah Sufiah Yusuf tidak kurang hebatnya apabila dia berjaya diterima masuk ke Universiti Oxford pada usia yang sangat muda iaitu ketika 13 tahun.

Namun tidak tahu di mana silapnya, Sufiah dilaporkan melarikan diri dari kampus pada tahun 2001 ketika usia 15 tahun dipercayai berpunca akibat tekanan daripada ahli keluarga sehingga pelajarannya tergendala.

Dua tahun kemudian, Sufiah kembali ke Oxford untuk menyiapkan ijazah sarjana, tetapi gagal menamatkannya.

Malah lebih mengejutkan apabila Sufiah terpalit dengan kontroversi penglibatannya dalam dunia pelacuran selepas bercerai dengan suaminya.

Dalam pada itu, pelajar Malaysia, Ti Ming pula dianggap genius kerana berjaya memasuki California Institute of Technology (CalTech) pada usia 15 tahun ketika tahun 1989.

Namun, walaupun Ti Ming berjaya menghabiskan pengajiannya sehingga ke peringkat PhD, dia mengalami masalah kemurungan dan tekanan jiwa yang teruk malah pernah dimasukkan ke hospital pada tahun 2002.

Kisah genius Ti Ming berakhir apabila dia meninggal dunia pada tanggal 6 Januari 2007 di Seremban ketika usia 33 tahun.

Adi Putra pula terkenal dengan formula matematik yang diciptanya. Ketika berumur enam tahun, Adi Putra mampu menyelesaikan pelbagai masalah dalam mata pelajaran matematik seperti algebra, statistik dan trigonometri.

Beliau telah menghasilkan 235 formula matematik dan 12 daripadanya telah diterbitkan dalam sebuah buku bertajuk Seni Matematik Islam. Adi Putra yang kini berusia 25 tahun aktif menganjurkan seminar matematik.

Aset negara

Kisah tragis yang berlaku terhadap Sufiah dan Ti Ming perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak agar ia tidak lagi berulang.

Pelajar pintar jika digilap boleh menyumbang semula kepada negara dan seterusnya menjadi aset yang boleh dibanggakan dunia. Kita tidak mahu lagi permata negara hilang begitu sahaja.

Kerajaan diharap dapat melakukan sesuatu tindakan yang wajar agar dapat membimbing dan melindungi pelajar pintar ini demi masa depan yang lebih gemilang.

Jangan disia-siakan bakat dimiliki golongan terbabit yang boleh diibaratkan sebagai berlian sangat berharga.

* Farah Nabila Mohamed Saris ialah penyunting Sinar Harian