Gua misteri bawah rumah penduduk

Iklan
Gua tersebut dikatakan menjadi sarang kelawar untuk tempoh yang tidak diketahui. Foto Agensi

LAMONGAN - Komuniti di sebuah perkampungan di sini gempar dengan kemunculan sebuah gua misteri di bawah rumah seorang penduduk.

Lokasi penemuan aneh itu di Dusun Sidowayah, Desa Lawangan Agung, Kecamatan Sugio, Kabupaten Lamongan.

Iklan
Iklan

Ia dijumpai ketika penduduk dikenali sebagai Supranoto mahu menggali perigi untuk mencari sumber air pada akhir bulan lalu.

Salah seorang penggali, Taji berkongsi cerita gua misteri itu dikesan pada Rabu lalu.

Iklan

"Dinding telaga runtuh dan gua itu muncul secara tiba-tiba ketika berada pada kedalaman lima atau enam meter.

"Ia turut menjadi sarang kelawar. Saya cuba masuk ke gua tersebut yang muat untuk saiz tubuh orang dewasa," katanya.

Iklan

Menurutnya, terdapat beberapa cabang di dalam ruang sempit itu dan ada yang ke utara, selatan, timur dan barat.

Sementara itu, anak pemilik perigi itu, Kristian Zudha Prastia berkata, dia teruja untuk menerokai gua misteri tersebut.

"Ia mempunyai ukuran panjang yang berbeza antara enam hingga tujuh meter. Saya tidak pasti ia menembusi ke arah mana. Secara jujurnya, saya tidak berani untuk meneruskan eksplorasi tersebut," jelasnya.

Difahamkan, ia bukanlah penemuan pertama di Dusun Sidowayah, namun tetap mendapat perhatian penduduk setempat.

Sejumlah pempengaruh media sosial turut turun padang untuk membuat kandungan di platform masing-masing termasuk YouTube.

Sehingga Isnin, video yang dimuat naik itu telah mencecah ribuan tontonan dan mengundang pelbagai reaksi warganet. - Agensi