KUALA TERENGGANU - Pernah digelar 'Mowgli Malaysia' suatu ketika dahulu, kini Muhammad Syukur Khamis, 19, berjaya membuka sebuah bengkel motosikal di Kampung Banggol Katong, Serada di sini.
Muhammad Syukur berkata, dia yang mempelajari ilmu dan kemahiran semasa melanjutkan pelajaran dalam Kursus Teknologi Motosikal selama enam bulan di GiatMara Kuala Telemong, Hulu Terengganu kini mampu membaiki motosikal berkuasa tinggi.
"Saya baru sahaja menamatkan Kursus Teknologi Motosikal di GiatMara Kuala Telemong pada beberapa bulan lepas dan kini membuka bengkel motosikal bersama abang saya, Muhammad Alias, 38, yang juga tenaga pengajar di GiatMara.
"Disebabkan kekangan masa abang yang bekerja sebagai tenaga pengajar di GiatMara, maka saya mengambil alih urusan bengkel untuk membaiki motosikal pada waktu pagi.
"Kebiasaan pada waktu pagi saya membaiki motosikal berkapasiti kecil. Pada waktu malam, barulah saya bersama abang saya, Alias membaiki motosikal berkuasa tinggi malah kami juga menetapkan harga yang lebih murah sesuai dengan harga pasaran semasa," katanya ketuka dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Muhammad Syukur turut merancang untuk mencari pengalaman membaiki motosikal dahulu sebelum menyambung kursus membaiki kereta pada masa akan datang.
Dalam pada itu, Muhammad Syukur menyatakan biarpun kini sibuk menjalankan kerja mekanik di bengkel motosikal, namun tidak menghalang dia untuk tetap membantu dalam menguruskan ternakan kerbau peliharaan keluarganya pada setiap hari.
Muhammad Syukur berkata, dia akan menguruskan lebih 80 ekor kerbau di kandang pada setiap pagi sebelum melakukan kerja-kerja motosikal di bengkel.
"Walaupun saya sibuk menjalankan kerja di bengkel, saya masih lagi menguruskan ternakan kerbau di kandang malah saya akan membahagikan masa agar dapat memberi kerbau makan dan memastikan haiwan tersebut pulang ke kandang sebelum waktu Maghrib," ujarnya.
Muhammad Syukur berkata, dia akan meluangkan lebih masa bersama kerbau-kerbau kesayangannya pada hujung minggu.
"Saya tetap uruskan kerbau-kerbau peliharaan itu pada hari biasa cuma ambil masa sekejap sahaja iaitu luangkan masa selama setengah jam kerana ada pekerjaan lain perlu dibuat.
"Pada sebelah petang pula, saya akan pergi ke kawasan kerbau-kerbau itu berkeliaran untuk memastikan kesemuanya masuk ke kandang semula.
"Sekurang-kurangnya buat masa ini saya boleh meneruskan rutin harian saya menguruskan kerbau di kandang dan pada masa sama menjalankan kerja-kerja membaiki motosikal di bengkel," ujarnya.