MBCC24 ajak golongan muda budayakan sukan, riadah

Iklan
MBCC24 mengajak orang ramai terutama golongan muda membudayakan aktiviti riadah dan bersukan secara sihat melalui pendakian gunung.

DUNGUN - Program Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC24) yang julung kali diadakan di Taman Eko Rimba Chemerong di sini menarik 672 penyertaan dari seluruh negara.

Pengarah Acara, Muhamad Rafi Kori berkata, acara yang berlangsung pada September lalu bertujuan mengajak orang ramai terutama golongan muda membudayakan aktiviti riadah dan bersukan secara sihat melalui pendakian gunung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam masa yang sama, acara ini menjadi platform bagi mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada Terengganu melalui bidang pelancongan sukan.

"Acara ini dianjurkan Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Iklan

"Ianya juga merupakan salah satu usaha Jabatan Pelancongan negeri dalam menjayakan Visit Beautiful Terengganu," katanya kepada Sinar Harian, di sini pada Selasa.

Muhamad Rafi berkata, kali terakhir acara pelumbaan MBCC diadakan pada 2013 sebelum acara climbathon diperkenalkan di Gunung Tebu, Besut pada 2022 dan 2023.

Iklan

"MBCC24 merupakan acara berkonsepkan 'trail run' atau perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan pelancongan pengembaraan sukan.

Sebahagian peserta MBCC24 merakam gambar kenangan sempena acara itu pada September lalu.

"Ia menawarkan tiga kategori utama sejauh 17 kilometer melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita serta veteran lelaki dan wanita (kategori cengal.

"Disamping itu, terdapat acara tertutup Terengganu lelaki dan wanita (meranti) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM14,600.

"Terdapat satu lagi kategori iaitu fun trail (kategori nyatuh) sejauh 2 dan 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai," ujarnya.

Gunung Berembun yang terkenal dengan jolokan CBL (Chemerong, Berembun, Langsir) berketinggian 1,038 meter dari paras laut merupakan destinasi tumpuan para pendaki di Malaysia.

Di kaki gunung yang merupakan Taman Eko Rimba sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutama pada setiap hujung minggu.

"Penjagaan kesihatan dan kecergasan harus menjadi keutamaan kepada semua orang dan ianya merupakan elemen penting dalam pertumbuhan sesebuah negeri dan negara.

"Pemandangan yang cantik, udara yang nyaman dapat dinikmati dari puncak gunung ini merupakan tarikan buat orang ramai sambil menjalankan aktiviti sihat dan cergas apabila tiba hujung minggu dan hari cuti," katanya.

Antara peserta terlibat dalam Program Mount Berembun Climbathon Challenge (MBCC24) yang diadakan di Taman Eko Rimba Chemerong, Dungun.

Beliau berkata, acara itu secara tidak langsung memberi impak ekonomi khususnya kepada penduduk dan industri pelancongan setempat sama ada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit dan sebagainya.

"Ia juga salah satu usaha bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Terengganu yang telah dijayakan pada tahun 2022 di bawah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

"Peranan mereka ini akan digunakan bermula pada tahun 2023 melibatkan apa jua aktiviti pendakian gunung," ujarnya.