MP DAP gesa siasatan menyeluruh polis terlibat dadah

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

SHAH ALAM - Siasatan menyeluruh perlu dijalankan berhubung jenayah berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, penting untuk siasatan rapi dilakukan bagi mengenal pasti sumber anggota terlibat memperoleh dadah dan kewangan yang digunakan untuk menyokong aktiviti haram berkenaan.

Iklan
Iklan

"Adakah anggota yang tidak berintegriti ini sebahagian daripada rangkaian jenayah yang lebih besar? Adakah mereka mencuri dadah daripada pengedar atau daripada bilik barang bukti polis?

"Soalan-soalan ini perlu dijawab jika kita serius mahu mengambil langkah berkesan dalam membanteras rasuah dan jenayah dalam pasukan polis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Ia susulan penangkapan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang baru-baru ini yang didapati positif dadah semasa berhibur di pusat hiburan di Taman Dutamas, Cheras, Kuala Lumpur.

Kesemua anggota itu kini sedang disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Iklan

Tambah Lip Eng, untuk sekian lama, siasatan terhadap kesalahan berkaitan dadah yang melibatkan anggota polis hanya tertumpu kepada kes-kes individu.

Pendekatan sebegini katanya, tidak memadai dan gagal menangani rangkaian serta sistem yang membolehkan tingkah laku jenayah ini terus berlaku.

"Saya mendesak pihak kepimpinan polis serta kerajaan untuk segera mengambil tindakan tegas dengan melancarkan siasatan penuh dan telus berhubung isu ini.

"Orang awam perlu diyakinkan bahawa mereka yang diamanahkan untuk menegakkan undang-undang tidak terlibat dalam kegiatan jenayah,” tegasnya.