'Ada individu lepaskan alligator gar ke Sungai Klang' - DOF

Iklan
Ikan alligator gar yang ditangkap pemancing di Sungai Klang, baru-baru ini. Foto: Tular Facebook

SHAH ALAM - Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengenal pasti terdapat individu tidak bertanggungjawab melepaskan ikan asing spesies alligator gar ke perairan umum.

Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, baru-baru ini tular di media sosial mengenai penangkapan ikan spesies invasif ini di Sungai Klang dengan berat 16.94 kilogram (kg).

Iklan
Iklan

Katanya, pada tahun 2020 juga pernah tular bangkai seekor ikan berkepala buaya ini ditemui di perairan Sabak Bernam.

"DOF menggesa orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti pelepasan alligator gar ke perairan umum kepada pihak berkuasa.

Iklan

"Jabatan Perikanan Selangor mengambil serius isu ini dan menyeru kepada semua untuk memastikan perairan umum di Negeri Selangor dipenuhi dengan spesies asli sahaja.

"Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu melindungi ekosistem perairan kita daripada ancaman spesies ikan asing," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Iklan

Noraisyah berkata, ikan alligator gar bukanlah spesies ikan air tawar tempatan dan dipercayai telah diimport dan dilepaskan ke Sungai Klang oleh pembela haiwan eksotik yang tidak bertanggungjawab.

Noraisyah

Menurutnya, pada asalnya, ikan ini diperkenalkan di Malaysia sebagai haiwan belaan dalam akuarium, namun akan dilepaskan ke perairan tempatan apabila ia menjadi terlalu besar untuk dipelihara.

"Alligator gar atau nama saintifiknya atractosteus spatula, berasal dari Amerika Utara dan Amerika Tengah (Lembangan Sungai Mississippi dan Sungai Missouri).

"Purata saiz ikan ini adalah antara 2 hingga 2.5 meter dengan berat purata 90 hingga 110kg.

"Ikan ini bersifat karnivor dan dietnya terdiri daripada apa sahaja ikan yang boleh dimuatkan dalam mulutnya," ujarnya.

Jelasnya, sebagai pemangsa oportunistik, alligator gar adalah sangat rakus dan memakan apa sahaja yang dapat ditangkapnya.

"Melepaskan spesies ikan asing ke dalam habitat yang bukan asal mereka boleh membawa kesan negatif yang besar terhadap keseimbangan ekosistem.

"Ikan alligator gar berpotensi bersaing dengan spesies tempatan dan boleh menyebabkan kepupusan ikan asli di perairan tersebut," katanya.

Tambah Noraisyah, pihaknya sentiasa bersedia memberi kerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan bagi mengawal isu kehadiran ikan asing ini.

"Beberapa program telah dilaksanakan dengan dihadiri masyarakat setempat seperti Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat Sungai Langat - Memburu Ikan Asing Bersama Komuniti serta Program Pemuliharaan Sumber Perikanan Darat - Memburu Ikan Asing Tasik Biru," katanya.