Anwar ketuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-44 dan Ke-45

Iklan
Anwar akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos. Foto Bernama

VIENTIANE - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan bermula hari ini hingga 11 Oktober di Vientiane, Laos, menurut Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan pada Selasa.

Selain Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri juga dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialog iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Iklan
Iklan

"Selain itu, Perdana Menteri akan menyertai Mesyuarat Pemimpin Komuniti Pelepasan Sifar Asia, Sesi-sesi Suamuka antara Pemimpin-pemimpin dengan Wakil-wakil Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA), wakil-wakil Belia ASEAN dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council - ABAC)," menurut kenyataan itu.

Kementerian yang juga dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan akan membolehkan Malaysia berkongsi perspektif serta bertukar pandangan mengenai pelbagai isu.

Iklan

"Malaysia juga akan menyatakan pendirian mengenai isu Laut China Selatan serta perkembangan di Myanmar, Palestin dan Asia Barat," menurut kenyataan itu.

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Iklan

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Jan 2025.

Pada majlis itu, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucapan ringkas yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar Negeri, MITI, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Kementerian Ekonomi, serta Kementerian Belia dan Sukan.

Sebelum Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, YB Menteri Luar Negeri akan menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN ke-58, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN ke-28 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN ke-35. - Bernama