MBS sita, pindah 545 kenderaan tersadai

Iklan
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita dan memindahkan 545 kenderaan tersadai sehingga September lepas di daerah ini selepas ia menimbulkan keadaan kacau ganggu. Foto MBS

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menyita dan memindahkan 545 kenderaan tersadai sehingga September lalu selepas ia didapati menimbulkan kacau ganggu.

Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, isu itu menyebabkan pencemaran pemandangan selain mewujudkan persekitaran tidak selamat apabila kenderaan berkenaan menjadi tempat pembiakan haiwan berbisa, penyakit berjangkit dan pelupusan sampah.

Iklan
Iklan

"Aduan mengenai kenderaan terbiar ini tidak tertumpu di mana-mana kawasan tertentu, tetapi mempunyai kadar peratusan tertinggi di kawasan perumahan.

"Kita menerima aduan tersebut melalui saluran aduan Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) mengenai kenderaan terbiar dan melalui pemantauan penguatkuasaan di lapangan," katanya pada Selasa.

Iklan

Ujarnya, selain itu aduan juga diterima daripada pelbagai saluran melalui pertubuhan komuniti penduduk tempatan.

"Lokasi tumpuan kereta tersadai biasanya kawasan perumahan seperti di lorong belakang dan kawasan perindustrian di Seremban.

Iklan

"Pemilik kenderaan sering meninggalkan kereta kerana kos baik pulih yang tinggi. Ada pemilik yang menggunakan kenderaan tetapi tidak menguruskannya dengan baik menyebabkan ia tersadai di tempat awam.

"MBS memandang serius isu kereta terbiar kerana ia menjejaskan kebersihan dan imej kawasan setempat," katanya.

Katanya, pemilik yang gagal mengalihkan kenderaan terbiar selepas menerima notis boleh dikenakan kompaun dan tindakan sitaan.

"Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 46 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 iaitu halangan di tempat awam.

"MBS mengenakan bayaran kompaun dan juga caj sitaan jika mahu menuntut semula kenderaan dan kebiasaanya kita keluarkan notis alih pada kadar tempoh tujuh hari kepada pemilik.

"Tempoh masa ini adalah munasabah diberikan kepada pemilik untuk mengalihkan kenderaan. Namun, pada situasi berbeza dan mengikut keadaan, MBS boleh membuat sitaan dalam tempoh serta-merta tanpa sebarang notis," katanya.