SHAH ALAM - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) julung kali menganjurkan Women #QuranHour, 'Wanita beriman & beramal soleh' sempena Konvensyen Hawa 2024 dalam memperkasakan wanita khususnya golongan muda untuk menangani isu-isu semasa yang semakin mencabar dengan panduan Surah An-Nur.
Program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini, anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM, WUIF dan Karya Bestari di Dewan Kuliah Pusat 3, USIM pada jam 8 pagi, 19 Oktober.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, program berinteraksi dengan al-Quran melalui baca, faham dan amal ini dijangka memberi impak besar kepada golongan sasaran dalam membentuk nilai sebagai wanita pendidik (Muallim), wanita yang taat (Muthi’ah), dan maruah wanita (Muruah).
Surah An-Nur memberi panduan sembilan tanggungjawab utama wanita beriman dan beramal soleh adalah adab meminta izin, adab menjaga pandangan, pernikahan dimudahkan, pelacuran dihapuskan, adab hijab dilabuhkan, adab kawal berita, hidup bersyariat, berperangsaka baik dan memelihara kehormatan.
Mesej daripada surah ke 24 ini menunjukkan tanda cinta ALLAH SWT kepada wanita dalam mengukuhkan martabat diri dengan menjaga kehormatan keluarga dan masyarakat, agar hidup lebih tenang, bermaruah dan mulia.
"Women #QuranHour kali ini dilaksanakan dengan kerjasama Young Muslim Leaders di USIM. Mereka berperanan besar dalam merancang dan melaksanakan program, serta memastikan pengisian yang relevan untuk golongan muda.
"Melalui tadabbur Surah An-Nur, Women #QuranHour kali ini mengajak para peserta untuk mengubah cara berfikir dan pandangan mereka terhadap peranan wanita dalam masyarakat. Surah ini dipilih kerana kandungannya yang kaya dengan nilai-nilai moral, syariah, dan etika sosial yang relevan dengan kehidupan harian wanita," kata Marhaini.
Tambah beliau, wanita menjadi aset penting dalam negara. Negara ini ibarat rumah, dan wanita memainkan peranan utama di dalamnya, terutama dalam mencorakkan pemakanan dan kesejahteraan gaya hidup keluarga.
"Surah Al-Kahf ayat 19 menceritakan kisah pemuda Kahf yang memilih makanan yang baik walaupun tertidur selama lebih 309 tahun.
"Ini menunjukkan pentingnya pemakanan dalam membentuk karakter seseorang.
"Pemakanan adalah kunci kepada kesejahteraan keluarga, dan wanita mempunyai kuasa besar dalam hal ini.
"Dengan pemahaman yang mendalam terhadap al-Quran dan mengamalkannya, kita berharap untuk melihat perubahan positif di peringkat keluarga dan seterusnya negara," katanya.
Penganjuran sulung Women #QuranHour bermula 2016 melalui kerjasama WUIF dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.
Ia diikuti dengan World Women #QuranHour di Istanbul, Turkiye pada 2018. Kedua-dua program memfokuskan wanita dewasa sebagai golongan sasaran.
Sementara itu, Pengurus Projek yang juga Timbalan Yang Dipertua MPP USIM, Nur A’zza A’tirah Ahmad Marzuki berkata Konvensyen Hawa 2024 membawa tajuk"Srikandi berjiwa ummah”.
Srikandi melambangkan wanita yang kuat, berani, serta penuh nilai-nilai Islam dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
Manakala Women #QuranHour antara slot program yang diketengahkan pada konvensyen tersebut dalam usaha melahirkan wanita yang mencintai al-Quran dan mengamalkannya dalam kehidupan harian.
Sesi bacaan al-Quran dibimbing oleh Johan Qariah Wilayah Persekutuan 2015 & 2017, Ustazah Noor Suhaiza Chulan.
Sementara tadabbur ayat al-Quran tersebut disampaikan oleh Pendakwah Seleberiti TV dan Radio, Ustazah Noraini Mat Din atau lebih dikenali sebagai Ustazah Nony.
Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai konvensyen sehari ini dengan bayaran RM15 per seorang.
Peserta berpeluang untuk menyertai empat slot eksklusif bersama asatizah dan pempengaruh; persembahan nasyid, silat dan bacaan; cabutan bertuah; dan pelbagai jualan menarik di sepanjang program.
Antara tajuk slot disediakan iaitu Healing with sisters: Cinta yang damai, Sesi Wanita bijak urus dan cari wang, diikuti dengan Qasidah & Bicara Santai Khas Wanita.
Untuk maklumat lanjut, sila layari di Instagram dan TikTok Hawa Convention. Siapa yang berminat menjadi peserta, sila daftar di https://forms.gle/qtetnLkKebCujc7a8