Cari idea kreatif tingkatkan penggunaan bahasa Melayu - Kian Ming

Iklan
Kian Ming

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya mencari idea yang lebih kreatif dan positif dalam usaha meningkatkan penggunaan serta pemahaman bahasa Melayu secara meluas.

Bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming berkata, beliau selaku individu yang banyak pengalaman dari segi berinteraksi dalam bahasa Melayu dengan mantan pengundi Parlimen Bangi suatu ketika dahulu amat menyokong penggunaannya sebagai alat komunikasi utama di negara ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, beliau tidak pasti mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mesti menyasarkan kumpulan tertentu apabila ingin menonjolkan kepentingan bahasa Melayu sedangkan sudah tentu ramai individu dalam dunia korporat berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris kerana ia amalan biasa.

"Mengapa tidak cadangkan idea untuk meningkatkan penggunaan dan pemahaman bahasa Melayu melalui saluran baharu seperti podcast?

Iklan

"Penggunaan dan pemikiran saya sendiri dalam bahasa Melayu telah meningkat selepas mendengar program podcast contohnya Keluar Sekejap secara berkala. Mengapa tak keluarkan lesen untuk saluran radio?

"Daripada menunjukkan naratif negatif, bukankah lebih baik Anwar tonjol sisi positif yang boleh memberikan insentif kepada orang lain untuk menggunakan bahasa Melayu bagi mencapai komuniti berbahasa Melayu secara meluas dan bukannya memaksa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Anwar ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh pada Ahad menegur segelintir kelompok elit yang taasub dengan bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, sikap obsesi dan keghairahan kelompok tersebut yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan bahasa Inggeris adalah salah.

Jelas Anwar lagi, golongan yang terlalu taasub dengan bahasa Inggeris dan mungkin dibesarkan di London perlu mewakili hasrat serta aspirasi rakyat negara ini secara keseluruhan.

Mengulas lanjut, Kian Ming berpandangan, Anwar pasti tidak berniat untuk menyasarkan kategori yang tidak melihat diri mereka sebahagian daripada kumpulan elit membesar di London, tetapi masih menggunakan bahasa Inggeris di tempat kerja secara kerap contohnya pekerja syarikat antarabangsa di Malaysia, ahli akademik universiti awam atau swasta dan lain-lain.

Tambah beliau, menyasarkan kumpulan yang bertutur dan menggunakan bahasa Inggeris di peringkat 'elit' membuatkan ramai golongan 'bukan elit' merasakan bahawa mereka disasarkan secara tidak adil dalam ucapan Anwar kelmarin.

"Mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai keadaan di Malaysia mungkin berbuat demikian di atas sebab berbeza dan bukannya untuk merendah-rendahkan penggunaan bahasa Melayu bagi urusan rasmi.

"Tetapi, lebih baik Anwar datang dengan contoh baharu untuk menunjukkan kepentingan bahasa Melayu seperti pempengaruh Cina Kelantan, MekYunn; pengusaha, James Ng atau Boss James; peniaga barangan sukan, Mike Chu atau pelawak, Douglas Lim yang fasih gunakan bahasa Melayu dalam berkomunikasi.

"Mungkin sudah tiba masanya untuk pasukan Anwar di Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk tunjukkan beberapa contoh positif di media sosial supaya beliau dapat tonjolkan naratif ini," katanya.