KLANG - Seorang gadis yang dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya di Taman Sungai Kapar Indah di sini, 3 Oktober lalu ditemui selamat di Terengganu pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, laporan kehilangan wanita berumur 25 itu sebelum ini dibuat ahli keluarganya.
"Hebahan berkaitan kehilangan gadis terbabit kemudiannya dilakukan sebelum dia sendiri tampil di Balai Polis Kuala Terengganu untuk membuat laporan.
"Gadis itu memaklumkan bahawa dia keluar secara sukarela untuk mencari pekerjaan di Terengganu dan dalam keadaan selamat," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Katanya, sehubungan itu orang ramai dinasihatkan agar sentiasa memaklumkan keberadaan diri kepada ahli keluarga atau rakan.
"Kalau keluar rumah untuk sebarang tujuan sama ada mencari pekerjaan, tolong maklumkan kepada ahli keluarga, jangan keluar tanpa pengetahuan mereka.
"Ibu bapa serta keluarga pasti akan risau sekiranya kita keluar tanpa memaklumkan kepada mereka, jangan sesekali pandang remeh berkaitan perkara tersebut," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang gadis dipercayai hilang setelah keluar dari rumahnya.
Individu berkenaan yang merupakan warga tempatan itu dipercayai keluar rumah tanpa pengetahuan keluarganya.