KOTA BHARU - Sepasang suami isteri yang menghuni Program Perumahan Rakyat (PPR) Kota Bharu di sini bersyukur kerana rumah mereka selamat daripada dijilat api selepas sekumpulan jiran bertindak cepat membantu memadamkan kebakaran itu.
Kebakaran dipercayai berpunca daripada mesin penapis air yang tiba-tiba meletup dan mengakibatkan ruang rumah di tingkat 14 dipenuhi asap hitam.
Penghuni rumah, Nurul Aini Mat Amin, 37, berkata, ketika kejadian pada Jumaat lalu, dia keluar bersama empat anak berusia lapan bulan hingga sembilan tahun ke sebuah rumah kebajikan asnaf di Guchil, Bayam kira-kira jam 1 tengah hari.
Katanya, tidak sampai satu jam, dia menerima panggilan daripada seorang jiran memaklumkan rumah mereka terbakar.
"Saya terus bergegas pulang dan mendapati api sudah padam dan beberapa jiran berada di kawasan rumah," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Nurul Aini memberitahu, walaupun sedih dengan insiden itu tetapi sangat lega kerana bantuan segera jiran dapat menyelamatkan kediaman yang dihuni lebih empat tahun itu selain dokumen penting.
"Mujur jiran dari atas dan bawah blok kediaman kami cepat memasang wayar air dan menyembur ke dalam rumah mengelakkan api merebak," katanya.
Bagaimanapun, Nurul Aini menjelaskan, mesin penapis air itu bukan miliknya seperti yang didakwa di media sosial tetapi dipasang ketika jurujual datang ke rumah untuk mempromosikan peralatan berkenaan.
"Kami tidak mempunyai wang untuk membayar mesin penapis air itu secara tunai atau bulanan dan memintanya membawa pulang peralatan itu.
"Jurujual itu mahu kami mencubanya dan saya akur dengan keputusan berkenaan tetapi tetap tidak boleh membayarnya," katanya.
Menurut suri rumah itu, kebakaran berkenaan menyebabkan kerugian kira-kira RM500 selepas beberapa barangan eketrik di dapurnya rosak termasuk periuk nasi, mesin pengisar selain beberapa jubin pecah selepas letupan.
Nurul Aini masih buntu untuk mengumpul semula wang bagi mengecat rumah dan membaiki ruang yang rosak kerana dia tidak bekerja manakala suaminya, Mohd Firdaus Mat Daud, 37, bekerja di pasar raya.
Sebelum itu, tular satu video sekumpulan lelaki berlari menarik wayar air untuk menyembur sebuah kediaman di PPR Kota Bharu yang dikatakan terbakar berpunca daripada sebuah mesin penapis air.
Video berdurasi 35 saat itu turut memaparkan mesin penapis air yang sudah hangus berada di atas kabinet dapur.