'Ibu macam bayi, kena awasi daripada main kotor, jemur tengah panas'

Iklan
Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong mengambil tanggungjawab menjaga ibunya yang hidap demensia.

Iklan
Iklan

KUALA TERENGGANU - Bukan sahaja diuji hidap kanser prostat pada 2018 sehingga kehilangan pekerjaan, kini seorang lelaki berkorban menjaga ibunya yang menghidap dementia atau nyanyuk.

Itu dihadapi Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong, 41, yang menjaga ibunya, Siah Jusoh, 65, seperti seorang bayi.

Iklan

Lebih menyentuh hati, Wan Mohd Khairu Affendy bukan sahaja memberi makan dan minum, ubat, tukar lampin pakai buang, malah mengawasi ibunya daripada bermain kotor dan berjemur di tengah panas berjam-jam.

"Walaupun kelihatan normal, ibu sering melakukan perbuatan pelik dan berbahaya di rumah seperti lupa menutup api dapur gas dan membiarkan peralatan tajam berselerak di dalam rumah.

Iklan

"Sebagai anak sulung, saya ambil tanggungjawab dan amanah ini untuk menjaga ibu sepenuh masa dan perlu bertahan walaupun tugas itu mencabar serta menuntut kesabaran yang tinggi.

Wan Mohd Khairu Affendy mengawasi ibunya daripada bermain kotor dan berjemur di tengah panas berjam-jam.

"Sebenarnya tak kuat tapi gagahkan juga diri kerana kita adalah ketua yang memimpin serta menggalas semua tanggungjawab keluarga," katanya.

Wan Mohd Khairu Affendy berkata, dia kini bergantung hidup dengan bantuan bulanan yang diterima selepas tidak mampu bekerja walaupun sudah bebas dari kanser.

"Sebelum ini saya bekerja sebagai pengangkat beg di hotel dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur lebih dua tahun.

"Saya pulang ke kampung untuk berehat kerana terlalu kerap mengambil cuti sakit," katanya.

Katanya, selepas disahkan bebas kanser, dia berusaha mencari rezeki dengan bekerja sebagai pembantu kedai makan untuk menambah pendapatan bulanan.

Wan Mohd Khairu Affendy mengawasi ibunya daripada bermain kotor dan berjemur di tengah panas berjam-jam.

"Namun keadaan kesihatan kembali merosot dan tidak boleh melakukan pekerjaan berat sehingga memaksa berhenti daripada melakukan sebarang kerja lasak dan menumpukan menjaga ibu yang sakit," katanya.

Wan Mohd Khairu Affendy berkata, perbelanjaan bulanan yang diterima menerusi pemberian bantuan tidak mencukupi bagi menampung keseluruhan kos diperlukan lebih-lebih lagi untuk lampin pakai buang dan susu ibunya.

"Saya memang tiada sumber sokongan kerana sudah lama berhenti kerja. Saya perlu jaga ibu sepenuh masa.

"Bantuan hanya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan ibu menerima RM200 serta ada pemberian zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).

"Saya berbesar hati jika ada insan atau organisasi yang mahu memberikan sedikit sumbangan kepada saya dan keluarga boleh dibuat menerusi akaun Maybank (163028506563) atas nama Wan Mohd Khairu Affendy Wan Sulong," katanya.