DUNGUN - Seorang pemain bola sepak Dungun FA maut selepas motosikal ditungganginya terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 5, Jalan Dungun-Bukit Besi berhampiran Kampung Che Lijah, di sini, pada Isnin.
Nahas berlaku kira-kira jam 10.35 malam itu melibatkan motosikal jenis Honda RSQ50R yang ditunggang mangsa serta sebuah Perodua Alza dan Perodua Myvi yang dipandu lelaki masing-masing berusia 19 dan 24 tahun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, Muhammad Aidi Kasim, 25, yang juga merupakan polis bantuan meninggal dunia setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila mangsa yang sedang menunggang motosikal menghala ke tempat kerjanya di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi tidak sempat mengelak Perodua Alza yang berada di bahu jalan sebelah kiri yang secara tiba-tiba masuk ke laluan motosikal itu.
"Disebabkan jarak terlalu dekat, mangsa tidak sempat mengelak dan kemudian terlanggar pada bahagian tepi sebelah kanan Alza tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Maizura berkata, sebuah Perodua Myvi dari arah Dungun kemudian merempuh Muhammad Aidi yang terjatuh di atas jalan.
Katanya, impak rempuhan tersebut menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan selanjutnya
"Selain itu, pemandu Alza dan Myvi tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.
Maizura berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.