PENDANG - Bunyi sayup seperti anak kucing di dalam kotak di belakang sebuah gerai jualan kuih di Kampung Rambai, di sini awal pagi tadi, membongkar penemuan seorang bayi lelaki.
Bayi yang dialas dengan kain dalam kotak yang diletakkan di atas meja ditemui pada jam 6.45 pagi oleh pasangan suami isteri, Mahmud Lebai Salleh, 77, dan isterinya, Che Som Saad, 75, yang berniaga kuih di situ.
Menurut Che Som, dia terdengar bunyi seperti anak kucing dan meminta suaminya membuka kotak berkenaan.
"Makcik sangkakan dalam kotak itu ada anak kucing namun sebaik kotak dibuka, makcik dan pakcik terkejut mendapati ada bayi lelaki sedang menangis.
"Tak tahu nak cakap apa ketika itu, sebab pakcik menangis sebaik melihat bayi itu yang masih berlumuran darah dan bertali pusat," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan bayi itu hari ini.
Menurut Che Som, mereka baru berniaga kuih di situ seminggu yang lalu kerana sebelum ini mereka hanya menghantar kuih kepada peniaga lain.
Sementara itu, Mahmud berkata, berkemungkinan bayi itu diletakkan di situ sebelum subuh kerana ketika itu tiada sesiapa melalui jalan berkenaan.
"Rakan pakcik kemudian memaklumkan kejadian itu di Klinik Kesihatan Kampung Rambai sebelum jururawat tiba untuk memeriksa bayi berkenaan," katanya.
Mahmud berkata, dia menangis kerana kasihan melihat bayi lelaki itu yang kesejukan dan ditinggalkan ibu bapanya di situ.
Katanya, darah pada badan bayi itu belum kering dan tali pusat juga belum dipotong.
"Tengok budak tu sedih betul sebab baju pun tak ada... tak pernah jumpalah macam ni, nampak dalam kotak yang tertutup rapat.
"Ini kali pertama pakcik lihat sendiri bayi yang baru dilahirkan ditinggalkan seorang diri seperti ini," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan bayi itu pada Selasa.
Mahmud berkata, bayi itu kemudian dibawa ke Hospital Pendang oleh kenderaan polis untuk pemeriksaan lanjut.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Zulkhairi Zainol Abidin ketika dihubungi berkata, bayi itu kini di bawah jagaan Bahagian Pelindung JKM.
"Bahagian Pelindung sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan bayi itu,” katanya. - Awani