Sivasangari ketuai cabaran negara di Piala Skuasy

Iklan
Sivasangari. Foto Agensi

SEBANYAK 12 pemain skuasy negara bakal berentap dengan pemain terbaik dunia dalam saingan Piala Skuasy Malaysia 2024 di The Curve, Damansara pada 12 hingga 17 November ini, menawarkan hadiah berjumlah AS$100,000 (RM428,780).

Berdasarkan undian, pemain negara di ranking kesembilan dunia S Sivasangari menjadi pilihan utama mengetuai kategori perseorangan wanita bersama Rachel Arnold (pilihan keempat), Aifa dan Aira Azman, Noor Ainaa Amani Ampandi serta dua pemain beraksi atas tiket peluang khas K Sehveetrra dan J Yasshmita.

Iklan
Iklan

Saingan suku akhir berkemungkinan mempertemukan dua wakil negara Sivasangari dan Aifa dalam kejohanan Siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) peringkat gangsa itu.

Pemain wanita ternama lain turut menyertai kejohanan berkenaan seperti Amina Orfi dan Salma Hany dari Mesir, masing-masing menduduki ranking ke-10 dan 11 dunia, Georgia Adderley dari Scotland dan Katie Maliff (England).

Iklan

Dalam kategori perseorangan lelaki, pemain ke-13 dunia Ng Eain Yow akan mengetuai cabaran Malaysia selaku pilihan kedua, bersama Sanjay Jeeva, Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar, Mohammad Syafiq Kamal and peserta tiket peluang khas C Ameeshenraj.

Pilihan utama ialah Youssef Soliman dari Mesir yang juga ke-11 dunia, diikuti Abdullah Al-Tamimi dari Qatar, Ramit Tandon (India) dan Farkas Balazs (Hungary) menambah kehangatan saingan.

Iklan

Promoter Utama ACE Sports and Management Jadish Kumar berkata, peminat sukan skuasy dan pengunjung di The Curve dapat menyaksikan perlawanan menarik dalam kejohanan ini terutama pemain negara dalam program Fast Track Road to Gold (RTG) - Sivasangari, Aifa, Aira dan Eain Yow.

"Kejohanan ini menampilkan enam pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia, membariskan 24 pemain masing-masing dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita. Pusingan awal akan berlangsung di Pusat Skuasy Jalan Duta manakala pertarungan berikutnya di The Curve.

"Kita menjangkakan lebih 100,000 penonton menyaksikan perlawanan pada hujung minggu di pusat beli-belah itu, yang berlangsung dalam gelanggang kaca mudah alih baharu,” katanya. - Bernama.