KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri memohon penjelasan daripada kerajaan Pahang dan agensi berkaitan berhubung dakwaan terdapat penghapusan hutan di kawasan itu.
Beliau berkata, pihaknya menerima surat edaran daripada agensi penguatkuasaan berhubung kegiatan itu di kawasan hutan berkenaan pada 27 September lalu.
Menurutnya, surat edaran tersebut antaranya menyatakan terdapat aktiviti penebangan dan pembersihan hutan yang dikhuatiri dilakukan tanpa kebenaran daripada pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
"Sebagai langkah proaktif, saya telah menghantar surat permohonan untuk menggesa (pihak terlibat) diadakan semakan, tindakan segera, dan juga bantahan terhadap kegiatan ini serta semakan status kawasan hutan tersebut kepada Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang.
"Salinan surat tersebut juga dihantar kepada Menteri Besar Pahang, Pengarah Tanah dan Galian, Pegawai Daerah Kuantan serta Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pahang," katanya dalam hantaran di Facebook miliknya di sini pada Isnin.
Muhamad Ayub menambah, penghapusan hutan dalam skala besar tanpa ada sebarang kajian impak kepada alam sekitar dan sosial.
Jelasnya, perbuatan sebegini tidak boleh diterima sama sekali kerana akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban dan akibatnya.
"Dengan ini, saya mengharapkan penjelasan yang jelas dan tuntas mengenai isu ini agar warga DUN Sungai Lembing mendapat maklumat yang tepat mengenai keadaan dan status Hutan Sungai Lembing.
"Saya dan warga DUN Sungai Lembing ingin menegaskan bahawa kami tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyelewengan atau salah laku dalam tata kelola (sekiranya ada) berkaitan isu penghapusan hutan ini," katanya.