SHAH ALAM - Peraduan Genius IQ Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) 2024 menerima lebih 5,000 penyertaan daripada orang ramai sepanjang ia dilaksanakan dari 15 Ogos hingga 14 September lalu.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, daripada penyertaan tersebut, seramai 23 individu telah dipilih dan diumumkan sebagai pemenang menerusi siaran secara langsung di platform Sinar Harian dan Facebook PTPTN.
Ujar beliau, acara yang mengangkat tema aplikasi myPTPTN dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) itu dijalankan menerusi media cetak serta digital milik Sinar Harian.
"PTPTN juga berharap kerjasama dengan Sinar Harian ini dapat memberikan pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat mengenai kelebihan serta manfaat penabungan melalui Simpan SSPN sebagai tabungan pendidikan terbaik untuk anak-anak.
"Program yang dijalankan selama sebulan itu mendapat sambutan sangat menggalakkan dan kita di PTPTN turut bekerjasama merangka soalan-soalan yang diberikan” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pengumuman Pemenang Peraduan Genius IQ PTPTN 2024 di Studio My #QuranTime, Kumpulan Karangkraf pada Isnin.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengurus Besar Kanan Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.
Pemenang pertama membawa pulang wang tunai Simpan SSPN Prime berjumlah RM5,000 bersama tiga gram emas 999.9 dan barangan eksklusif PTPTN manakala tempat kedua pula memperolehi wang tunai Simpan SSPN Prime berjumlah RM2,000, dua gram emas 999.9 dan barangan eksklusif PTPTN.
Selain itu, pemenang tempat ketiga menerima hadiah wang tunai Simpan SSPN Prime berjumlah RM1,000, satu gram emas 999.9 dan barangan eksklusif PTPTN dan 20 pemenang hadiah saguhati berupa wang tunai Simpan SSPN Prime berjumlah RM250 dan barangan eksklusif PTPTN.
Menurut Ahmad Dasuki, penganjuran program tersebut dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan orang ramai untuk membuka akaun Simpan SSPN menerusi aplikasi myPTPTN pada masa akan datang.
"Ini adalah cara PTPTN untuk melangkah ke hadapan di mana kita hendak menggalakkan pelanggan berurus niaga melalui aplikasi myPTPTN sekaligus menjadi langkah pendigitalan perbadanan tersebut.
"Ia sangat mudah, cepat dan selamat. Selain itu, kita juga hendak menyebar luas lagi perkhidmatan kami kepada seluruh masyarakat terutamanya pengunjung laman rasmi, sosial media atau akhbar cetak Sinar Harian berkenaan produk-produk dan perkhidmatan yang dilaksanakan oleh PTPTN,” ujarnya.
Ulas beliau, orang ramai yang masih mencari produk penabungan sesuai digalakkan supaya membuka akaun Simpan SSPN bagi menikmati lebih banyak manfaat daripada PTPTN.
Menurutnya, buat masa ini pihaknya sedang melaksanakan Kempen Cabutan Siri WOW! Superheroes 2024 yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 dan akan diberikan kepada 181 pemenang. Kempen ini akan berakhir pada 31 Oktober 2024.
"Pada masa sama kita ada Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024 yang sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2024 yang mana hadiah keseluruhan ditawarkan adalah berjumlah RM1.3 juta. Hadiah Utama bagi Cabutan Tahunan sangat lumayan iaitu Proton X90 Flagship,Proton X50 Flagship dan Proton S70 Flagship X.
"Jadi ini antara hadiah-hadiah kita tawarkan bagi menggalakkan masyarakat Malaysia di luar sana yang masih belum membuka akaun supaya menyimpan melalui Simpan SSPN.
"Sertai Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2024 sepanjang bulan Oktober ini sempena Hari Tabungan Sedunia. Pelbagai aktiviti serta hadiah menarik disediakan. Anda juga berpeluang membawa pulang tabung edisi khas BMS dan banyak lagi cenderamata eksklusif yang menarik! Jom Jadi Superhero Anak Anda dengan menyimpan di Simpan SSPN.
"Simpan SSPN juga memberikan pelbagai manfaat dan keistimewaan seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit,Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif dan sudah pasti Simpan SSPN ini dijamin oleh kerajaan serta selamat dibuka oleh semua masyarakat Malaysia,” menurutnya.
Terima lebih ramai penyertaan secara digital
Sementara itu, Pengurus Besar, Jualan Iklan Sinar Harian, Airol Fadley Limin berkata, Peraduan Genius IQ PTPTN tahun ini menerima lebih ramai penyertaan melalui saluran digital berbanding media cetak.
Jelas beliau, penganjuran berkenaan membuka penyertaan kepada dua kaedah iaitu melalui akbar Sinar Harian dan platform digital iaitu menerusi laman mikro yang telah direka khas untuk peraduan tersebut.
"Kebanyakkan penyertaan datang daripada platform digital. Jadi sambutan amat menggalakkan.
"Berbanding tahun lalu penyertaan Peraduan Genius IQ PTPTN secara digital lebih memberangsangkan daripada tahun lepas,” ulasnya.
Tambah Airol, promosi berterusan melalui media cetak dan sosial media Sinar Harian antara faktor utama mendorong kepada peningkatan penyertaan orang ramai dalam program itu.
"Antara sebab lain juga, orang ramai mudah menyertai sesuatu pertandingan melalui medium digital termasuk sosial media.
"Jadi medium digital ini lebih memudahkan mereka untuk turut serta dalam mana-mana peraduan yang diadakan,” jelasnya.
REAKSI PEMENANG
"Saya tahu mengenai peraduan ini menerusi media sosial dan aplikasi myPTPTN. Pada mulanya saya cuba nasib sahaja sertai peraduan tersebut sebab anak saya memang ada akaun Simpan SSPN. Tetapi saya amat teruja dan tidak sangka apabila nama terpilih sebagai pemenang.” - Pemenang tempat pertama Peraduan Genius IQ PTPTN 2024, Nurshahirah Abdul Malik, 29
"Hampir setiap hari saya cuba jawab dan hantar jawapan untuk penyertaan peraduan tersebut. Apabila menang, saya amat gembira kerana memang saya menunggu keputusan berkenaan dengan menyaksikan siaran langsung mengenai pengumuman pemenang itu. Terima kasih kepada PTPTN dan Sinar Harian.” - Pemenang tempat kedua, Mohd Faizal Idris, 49
"PTPTN sentiasa menganjurkan pelbagai program dan cabutan setiap tahun seperti Cabutan Siri WOW! Superheroes dan Cabutan Siri WOW! Merdeka 2024, saya memang biasa sertai tetapi tidak pernah menang. Kali ini saya terpilih sebagai pemenang.” Pemenang tempat ketiga, Nurshahira Ayub, 31
PEMENANG HADIAH SAGUHATI
NURUL INTAN FAIRUZ BINTI MOHD FIRZAN
NURSYAZMIZA BINTI ISHAK
MOHD SAFRIZAL BIN UMAR
SITI NUR IZZIYANI BINTI NOOR AZEMI
NUR FADHILAH BT MOHD AFFNAN
SITI SYAFIQAH BINTI ABDULLAH
MOHAMAD NUR HAFISZAN BIN KAMARUDIN
MOHD AZROL BIN GAFOR
NORFADILAH BINTI MOHD AMRAN
SUHAILIN BINTI MOHAMED TAUHED
MOHD SYUKREE BIN MOHD SHUKOR
CHIN MIN YEN SANNA
AINA NUR SYAFEEZA BINTI AHMAD FAUZI
MUHAMMAD DANISH HAYQAL BIN MOHD AZROL
NORHIDAYAH BINTI AZNI
MOHD FAIZAL BIN MOHD NASIR
AHMAD FAISAL BIN ABDULLAH
NURFAZLIANA BINTI ALI
ABDUL MUJIB BIN ISMAIL
NORZAINI BINTI MOHD DAUD