ALOR GAJAH - Sebanyak 12 ekor kerbau bernilai lebih RM70,000 disita Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) selepas didapati berkeliaran di beberapa kawasan di Masjid Tanah di sini pada awal pagi Selasa.
Kesemua haiwan ternakan itu ditangkap dalam operasi khas di Taman Warisan Kemang, Kampung Solok Kemang, Masjid Tanah yang bermula dari 12 tengah malam dan berakhir pada jam 8 pagi.
Yang Dipertua MPAG, Saifuddin Abdul Karim berkata, Op Ternakan Berkeliaran itu dilakukan selepas pihaknya menerima aduan berkenaan haiwan ternakan yang melakukan kacau ganggu kepada pengguna jalan raya dan penduduk setempat.
Menurutnya ternakan berkeliaran itu bukan sahaja mengganggu ketenteraman awam, merosakkan tanaman dan menjejaskan kebersihan malah ia turut membahayakan pengguna jalan raya dan pernah menyebabkan kemalangan.
"Kerbau yang ditangkap akan disita di lokasi berkenaan dalam tempoh lima hari sehingga pemilik membuat tuntutan.
"Mereka perlu menyelesaikan bayaran kompaun berjumlah RM1,000 bagi setiap ekor ternakan," katanya ketika dihubungi di sini pada Selasa.
Katanya, lelongan akan dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) Peselesan Haiwan Ternakan MPAG 2012 jika tiada sebarang tuntutan dibuat oleh pemilik haiwan.
"Kita menasihatkan orang ramai khususnya penternak agar sentiasa mematuhi undang-undang supaya tidak dikenakan tindakan selain menjaga ketenteraman awam daripada kacau ganggu haiwan ternakan," katanya lagi.