Terpaksa melacur selepas masuk jerat 'ibu ayam'

Iklan
Sebahagian warga asing disyaki pelacur yang ditahan polis dalam serbuan berasingan di sebuah spa di Sungai Besi.

KUALA LUMPUR - Hasrat seorang remaja warga asing untuk tinggal bersama kakaknya yang berkahwin dengan lelaki tempatan lebur, malah menjadi detik hitam apabila terjerat dengan sindiket pelacuran sebelum diselamatkan polis kelmarin.

Remaja perempuan itu antara tiga wanita warga Vietnam berusia 17 hingga 26 tahun yang diselamatkan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dalam operasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Iklan
Iklan

Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sebanyak empat buah premis diserbu bermula jam 11 malam.

Menurutnya, serbuan itu berjaya membawa tangkapan seramai tujuh warga tempatan termasuk tiga wanita, tiga lelaki warga asing dan lapan wanita warga asing disyaki pelacur selain berjaya menyelamatkan tiga wanita Vietnam.

Iklan

"Serbuan pertama di sebuah pusat snuker di Jalan Kuchai Maju 13 berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 19 sehingga 37 tahun yang dipercayai berperanan sebagai pembantu ejen serta 'runner'.

"Susulan itu, pasukan serbuan ke sebuah banglo di Taman Bukit Serdang, Selangor dan menahan seorang wanita berusia 39 tahun disyaki ejen," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Tiga wanita warga Vietnam yang berjaya diselematkan selepas dipercayai dieksploitasi sebagai pekerja seks.

Iklan

Katanya, serbuan ketiga kira-kira jam 11.45 malam di sebuah kondominium di Jalan Kuchai, Kuala Lumpur berjaya menyelamatkan tiga mangsa wanita Vietnam yang dieksploitasi sebagai pekerja seks.

"Dengan dipandu arah oleh mangsa, pasukan operasi D3 JSJ Bukit Aman bertindak menyerbu tempat kerja mangsa yang dieksploitasi sebagai pelacur iaitu sebuah spa di Sungai Besi, Kuala Lumpur dan pemeriksaan menemui dokumen serta buku catitan kerja milik mangsa.

"Kita menahan tiga wanita termasuk penjaga kaunter dan penyelia berusia lingkungan 40-an serta tiga lelaki warga asing disyaki pekerja premis. Seramai lapan wanita disyaki pelacur iaitu lima dari Vietnam, dua Kazakhstan dan seorang Rusia juga ditahan," katanya.

Fadil berkata, siasatan awal mendapati salah seorang mangsa datang ke Malaysia pada tahun 2018 kerana mengikut kakaknya yang berkahwin dengan lelaki tempatan sebelum diperkenalkan dengan seorang ejen wanita tempatan yang menjanjikan pekerjaan di butik pakaian.

"Mangsa dibawa ke satu rumah di kawasan kondominium di ibu negara dan dipaksa bekerja sebagai pelacur di premis sekitar Kuchai Avenue, Kuala Lumpur.

"Mangsa bekerja selama lebih satu tahun sebelum premis tersebut ditutup dan kemudian mangsa diarah bekerja di sebuah spa sebagai pekerja seks," katanya.

Menurutnya, semua pergerakan mangsa dikawal ejen dan pembantunya selain tidak diberikan gaji secara penuh.

"Mangsa tidak dibenarkan pulang ke Vietnam dan diugut supaya menyelesaikan semua hutang yang mangsa tidak diketahui selain pasportnya dipegang ejen.

"Kegiatan ini dipercayai didalangi seorang suspek wanita yang dibantu lelaki lain," katanya.

Katanya, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12 dan 14 Akta ATIPSOM 2007, Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

"Mangsa pula disiasat di bawah Seksyen 44 ATIPSOM 2007," katanya.