JPS aktifkan pam kurangkan banjir daerah Kerian

Iklan
Mohammad Nizar meninjau lokasi pam bergerak di Kampung Selekoh, Bagan Serai.

BAGAN SERAI - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak telah mengaktifkan semua rumah pam dan pam bergerak di lembangan Sungai Kerian dan Sungai Kurau sejak 17 September lalu bagi mengurangkan risiko banjir di daerah Kerian.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, taburan hujan yang tinggi melebihi 100 milimeter (mm) sehari menyebabkan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi melindungi 36 keluarga yang terjejas.

Iklan
Iklan

"PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak menempatkan 71 mangsa melibatkan 20 keluarga dari Kampung Matang Tengah dan Kampung Beriai manakala PPS SK Haji Aman menempatkan 53 mangsa dari Kampung Air Itam 2, Parit Ali Kalang dan Kampung Beriah.

Mohammad Nizar (tengah) mendengar penerangan daripada pihak JPS berhubung operasi pam bergerak di Kampung Selekoh, Bagan Serai.

"Hujan lebat berterusan memberi cabaran kepada JPS dan pemantauan dibuat sehingga akhir Monsun Timur Laut dalam tempoh tiga bulan ini," katanya kepada pemberita semasa mengadakan lawatan tapak kawasan banjir di Kampung Selekoh di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut beliau, JPS mencadangkan supaya penambahbaikan kawasan Sungai Beriah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menerusi Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Samagagah.

"RTB Sungai Kerian yang dilaksanakan sejak 2012 berjaya mengurangkan risiko banjir daripada tujuh PPS dicatatkan kini tinggal dua sahaja.

Iklan
Mohammad Nizar meninjau keadaan KM15 Jalan Selama-Bagan Serai yang ditutup untuk kenderaan ringan berikutan kenaikan paras air.

"RTB Sungai Kerian berfungsi dengan baiklah, jadi sekarang ini kita hanya fokus kepada kawasan Matang Tengah dan Kampung Selekoh yang mana penambahbaikan itu dimasukkan dalam RTB Sungai Samagagah yang sedang dimohon," katanya.

Tambah Mohammad Nizar, pihaknya meneliti cadangan untuk mencari kolam takungan baharu bagi merendahkan paras Sungai Kerian dan meredakan situasi banjir kini.

"Isunya paras Sungai Kerian agak lama tinggi yang mana air dalaman tidak keluar.

"Ia masih lagi di peringkat kajian. Kita mahu masalah banjir ini dapat ditangani sebelum pelaksanaan Pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dilaksanakan," katanya.