Setahun genosid: Malaysia seru komuniti antarabangsa bersatu

Iklan
Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. - Foto AP

KUALA LUMPUR - Malaysia menyeru komuniti antarabangsa untuk bersatu, mengambil tindakan tegas, dan mendakwa rejim Zionis Israel atas jenayahnya terhadap rakyat Palestin.

Wisma Putra dalam satu kenyataan menegaskan, ini adalah masanya untuk bertindak selepas genap setahun kekejaman rejim Zionis Israel terhadap Palestin.

Iklan
Iklan

"Tragedi Oktober lalu, genap setahun menjadi peringatan suram tentang keganasan tanpa henti ke atas rakyat Palestin.

"Sepanjang setahun ini, rejim Zionis Israel telah membunuh secara purata 115 rakyat Palestin setiap hari, dan mencederakan 274 lagi, kebanyakannya warga emas, wanita, dan kanak-kanak yang tidak bersalah.

Iklan

"Kempen keganasan dan penindasan rejim Zionis Israel berterusan tanpa tanda berhenti, meskipun pelbagai rundingan, resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah dibuat. Rejim ini tetap berdegil, melaksanakan genosid, memperluas penempatan haram, memusnahkan infrastruktur penting, dan kini melanggar kedaulatan Lubnan.

"Di mana-mana di dunia, pelanggaran undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, dan hak asasi manusia, termasuk genosid dan jenayah perang, tidak boleh dibiarkan tanpa hukuman.

Iklan

"Hanya Israel bertindak tanpa sebarang akibat. Ini tidak boleh diterima. Israel tidak boleh lagi berlindung di sebalik sejarahnya untuk melakukan pembunuhan kejam terhadap rakyat Palestin," tegasnya.

Justeru itu, Malaysia mengulangi sokongan padu terhadap perjuangan rakyat Palestin untuk penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota.

Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara-negara sehaluan untuk memastikan keanggotaan penuh Palestin di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Malaysia turut menyeru semua negara mesti segera menghentikan kekejaman ini. - Awani