Vietnam sambung perkhidmatan kapal selam lutsinar hingga 2025

Iklan
Kerajaan Vietnam melanjutkan projek perintis perkhidmatan kapal selam di Teluk Nha Trang sehingga Mac tahun depan, susulan kejayaannya sebelum ini. - Foto: Agensi

PHNOM PENH - Bayangkan diri anda menyelam ke dalam lautan yang menakjubkan, meneroka keindahan dasar laut dengan kapal selam lutsinar yang pertama di dunia.

Vietnam kini memberi nafas baharu kepada industri pelancongannya dengan mempromosikan tawaran pelancongan kapal selam, memberi peluang unik kepada pelancong untuk menerokai keindahan laut dan kepelbagaian biodiversiti negara itu.

Iklan
Iklan

Kerajaan Vietnam melanjutkan projek perintis perkhidmatan kapal selam di Teluk Nha Trang sehingga Mac tahun depan, susulan kejayaannya sebelum ini, lapor Vietnam News.

Kapal selam lutsinar ini kali pertama diperkenalkan pada 2022, dengan tujuan mempromosikan pelancongan dasar laut di Nha Trang yang terkenal dengan air jernih dan destinasi menyelam popular di selatan Vietnam.

Iklan

"Lanjutan ini bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan perniagaan dan memperkukuh sektor pelancongan di rantau ini.

"Keputusan ini juga memberi masa tambahan untuk memuktamadkan peraturan undang-undang mengenai operasi kapal selam, dengan fasa percubaan dilanjutkan sehingga 30 Mac 2025,” menurut laporan itu.

Iklan

Kapal selam DeepView seberat 55 tan, dibina oleh Triton Submarines yang berpangkalan di Florida.

Ia diperbuat daripada akrilik lutsinar serta dikuasakan oleh tenaga elektrik, menurut laman sesawang Vinpearl, syarikat yang mengendalikan pelancongan dasar laut itu.

Vinpearl merupakan antara jenama hospitaliti terkemuka di Vietnam yang menguruskan hotel dan resort mewah.

Kapal selam itu mampu memuatkan 24 penumpang dan boleh menyelam sehingga 100 meter di bawah permukaan laut.

"Sepanjang perkhidmatan ini, syarikat telah melengkapkan 713 perjalanan kapal selam termasuk selaman percubaan, sesi latihan dan kunjugan pelancong, melibatkan 2,708 penumpang di Teluk Nha Trang,” lapor Vietnam News.

Menurut Pejabat Statistik Am Vietnam, ketibaan pelancong antarabangsa dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 12.7 juta, menyaksikan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Malaysia turut berada dalam kalangan 10 negara teratas yang menyumbang kepada jumlah pelancong antarabangsa ke Vietnam tahun ini. - Bernama