[VIDEO] 'Rakyat Palestin di Malaysia tidak dipaksa pulang'

Iklan

SHAH ALAM - Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali menafikan kekecohan membabitkan rakyat negara itu yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur (WTKL) disebabkan ketidakpuasan hati dengan perkhidmatan asas dan rawatan perubatan diberikan.

Malah beliau menegaskan, rakyat Palestin yang cedera telah dibekalkan dengan semua keperluan diperlukan sepanjang menetap di pusat berkenaan.

Iklan
Iklan

"Malangnya, ada antara mereka yang beremosi dan mengalami tekanan tinggi.

"Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku, tetapi apa sahaja yang diperlukan telah disediakan oleh kerajaan Malaysia dan Kementerian Pertahanan mengikut keperluan masing-masing," katanya ketika ditemui selepas menghadiri program 'The Palestinian Diaries: A Day of Culture, Stories and Solidarity anjuran Sinar Daily di Kumpulan Karangkraf, pada Selasa.

Iklan
Walid ketika hadir program 'The Palestinian Diaries: A Day of Culture, Stories and Solidarity anjuran Sinar Daily di Kumpulan Karangkraf, pada Selasa.

Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita warga Palestin mengamuk dengan bertindak menendang perhiasan di lobi wisma itu kerana tidak dibenarkan keluar untuk menginap di luar premis atas faktor keselamatan.

Sebagai rekod, Wisma Transit adalah kemudahan di bawah Kementerian Pertahanan yang digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk menyediakan penginapan.

Iklan

Dalam pada itu Walid turut mengesahkan kandungan surat yang diserahkan pihaknya kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai aduan rakyat Palestin di wisma berkenaan.

Aduan tersebut melibatkan kemudahan komunikasi ke Mesir dan Gaza, pendidikan untuk kanak-kanak dan kebebasan pergerakan.

"Kami dan pegawai Kementerian Pertahanan juga telah bersetuju sekiranya mereka (rakyat Palestin) mahu pulang (ke Mesir), mereka boleh pulang. Jika mahu tinggal sehingga sembuh sepenuhnya, boleh terus tinggal.

"Tiada siapa yang paksa mereka pulang. Ia adalah keputusan mereka dan kami menunggu jawapan mereka," ujarnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 5 Oktober lalu dilapor berkata, kerajaan memberi perhatian sewajarnya terhadap aduan yang dibangkitkan keluarga warga Palestin yang cedera dibawa masuk ke negara ini untuk rawatan perubatan.

Pada 16 ogos lalu, Malaysia berjaya membawa 41 rakyat Palestin yang cedera untuk rawatan di Malaysia, bersama 86 saudara mereka dari Kaherah.