Kerajaan dukung pengukuhan institusi perundangan, kehakiman syariah

Iklan
Mohd Na’im

SHAH ALAM - Kerajaan Madani melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa mendukung agenda pengukuhan institusi perundangan dan kehakiman syariah dengan meletakkan ia sebagai salah satu fokus dalam Pelan Transformasi Al-Falah Tahun 2023-2027.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia meliputi aspek penggubalan, penyemakan dan pindaan undang-undang syariah, penstrukturan Mahkamah Syariah, penyediaan latihan komprehensif bagi meningkatkan kompetensi hakim dan pegawai di Mahkamah Syariah.

Iklan
Iklan

Pada masa sama katanya, hal ehwal berkaitan pendakwaan syariah, penguatkuasaan syariah serta guaman syarie perlu turut diperkukuh terlebih dahulu untuk memperkasa sistem kehakiman syariah.

"Kesemua usaha yang diambil ini sebelum dilaksanakan akan melalui proses sewajarnya termasuk merujuk kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan Majlis Raja-Raja.

Iklan

"Justeru, Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika wawancara bersama wartawan Mehdi Hasan yang disiarkan di portal rasmi Bernama pada Isnin.

"Beliau dengan tegas menyebut tentang kepentingan memperkukuh perpaduan dan toleransi dalam kemajmukan masyarakat selain memastikan tadbir urus yang baik dalam pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Tambah Mohd Na’im, apabila diwawancara tentang undang-undang hudud di Malaysia, Perdana Menteri telah memberi maklum balas bahawa ia memerlukan konsensus.

"Bagaimanapun, keutamaan sekarang adalah untuk memastikan keamanan dan keselamatan masyarakat.

"Kenyataan Perdana Menteri dalam isu tersebut adalah tepat dan berasas dengan mengambil kira Fiqh Al-Waqi’ (fiqh realiti) serta Fiqh Al-Awlawiyyat (keutamaan),” jelasnya.