Suami isteri umpama pakaian, saling menutup keaiban

Iklan
SUAMI ISTERI bagaikan pakaian yang saling menutupi keaiban masing-masing. Foto CANVA

KISAH perceraian pasangan selebriti seolah-olah sudah menjadi perkara biasa kebelakangan ini dan mendapat perhatian meluas daripada masyarakat.

Bagaimanapun, kisah perceraian dua selebriti terkenal sehari dua ini benar-benar mengejutkan orang ramai apabila salah satu pihak secara umumnya mendedahkan aib pasangan kepada awam.

Iklan
Iklan

Perkara tersebut mengundang pelbagai reaksi daripada orang awam dan boleh menimbulkan fitnah sekiranya ia tidak benar.

Jika benar sekalipun, ia tetap aib yang perlu ditutup setiap pasangan suami isteri walaupun selepas mereka berpisah.

Iklan

Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, sepatutnya pasangan suami isteri tidak mendedahkan aib pasangan masing-masing dan bersifat saling melindungi.

DR AHMAD SANUSI

Iklan

"Isteri-isteri kamu itu seumpama pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

"Menurut Ar-Raghib Al-Asfahani, perumpamaan bahawa suami isteri seperti pakaian adalah kerana mereka seharusnya saling menutup keaiban dan saling memelihara air muka masing-masing,” jelasnya dalam Facebook miliknya pada Selasa.

Katanya, ulama itu turut menjelaskan, dijadikan pakaian itu sebagai satu perumpamaan bagi seorang suami kerana dia menjadi pelindung buat diri dan isterinya daripada terdedahnya keburukan mereka berdua.

"Ini adalah sebuah pengajaran yang penting dalam era dunia hari ini di mana pasangan saling mendedahkan aib sesama mereka.

"Mereka mungkin sekadar berniat untuk bergurau, namun dibimbangi mendedahkan keburukan pasangan tanpa disedari,” hurainya lagi.

"Sesungguhnya antara seburuk-buruk manusia di sisi Allah pada hari kiamat ialah seorang lelaki yang bersama dengan isterinya dan isterinya bersama dengannya (melakukan hubungan intim), kemudian dia mendedahkan rahsia isterinya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis lain katanya, sebaik-baik wanita adalah yang menjaga hak suaminya seperti sabda Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik wanita itu adalah wanita yang tenang hatimu ketika memandangnya, dia taat kepadamu ketika disuruh dan ketika kamu tiada, dia menjaga kehormatannya serta memelihara harta kamu." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Jelasnya lagi, benarlah kata-kata Syeikh At-Tantawi melalui ayat al-Quran itu bahawa ALLAH mendidik manusia bagaimana setiap pasangan itu seharusnya rapat seperti rapatnya pakaian kepada tubuh badan seseorang.

"Ia melindungi mereka dari segala apa yang boleh menyakiti,” hurainya.

Sementara itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, Islam merupakan agama yang menggalakkan umatnya mengeratkan silaturahim dan menjaga hubungan sesama manusia.

WALAUPUN bergaduh, suami isteri tidak dibenarkan untuk membuka aib pasangan masing-masing. Foto CANVA

"Oleh itu, sebarang perkara yang membawa kepada perbalahan dan perpecahan adalah dicemuh dan dilarang oleh syarak.

"Larangan membuka aib ini juga tidak terhad sesama pasangan sahaja, malah terhadap ahli keluarga, rakan-rakan atau kenalan bahkan terhadap pihak media atau wartawan,” jelasnya.

Bagaimanapun katanya, terhadap pengecualian pada kes-kes tertentu melalui saluran yang berautoriti.

Menurut Imam An-Nawawi, terdapat enam sebab dibenarkan untuk membuka aib seseorang seperti dinukilkan dalam kitab Riyadh as-Solihin iaitu:

1 - Mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan untuk berlaku adil kepadanya daripada orang yang berlaku zalim terhadapnya.

2 - Mencari pertolongan daripada orang tertentu yang mampu mengubah kemungkaran dan membawa si pelaku maksiat ke jalan kebenaran.

DIBENARKAN mengadu kezaliman kepada pihak yang mempunyai bidang kuasa atau kemampuan atas kezaliman yang dilakukan pasangan. Foto CANVA

3 - Meminta fatwa daripada mufti.

4 - Memberi amaran kepada seseorang terhadap kemungkaran dengan menasihati dan memberitahunya berkenaan perihal buruk seseorang yang tidak harus dia ikuti.

6 - Menyebut seseorang dengan panggilan yang buruk kerana hanya dengan panggilan tersebut sahaja dia dikenali. Sekiranya panggilan tersebut digunakan untuk merendah-rendahkan atau mengejek, ia adalah haram.