Bekalan ayam belanda musim perayaan dijangka stabil - DVS

Iklan
DVS mengesahkan tiada wabak penyakit berlaku dalam pengeluaran ayam belanda dan bekalan negara sempena musim perayaan dijangka stabil. - Gambar hiasan 123RF

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan tiada wabak penyakit berlaku dalam pengeluaran ayam belanda dan bekalan negara sempena musim perayaan dijangka stabil.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengeluaran ayam belanda tempatan adalah sebanyak 10,010 ekor pada tahun lepas melalui 145 penternak dari ladang ternakan di seluruh negara.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu jumlah berkenaan dapat menghasilkan sebanyak 50,050 kilogram daging ayam belanda dengan negeri pengeluar utama ialah Pulau Pinang, Johor, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

"Bagi memastikan bekalan ayam belanda sentiasa ada di pasaran, ia ditampung dengan import untuk memenuhi keperluan dalam negara khasnya di musim perayaan Krismas.

Iklan

"Antara langkah yang telah diambil oleh DVS ialah memeriksa dan meluluskan loji penyembelihan halal ayam belanda di luar negara bersama pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” menurut kenyataan itu.

Menurut DVS pada masa ini, Turkiye merupakan negara sumber yang telah diluluskan bagi pengimportan ayam belanda ke Malaysia dan tempoh kelulusan hingga 2027.

Iklan

Kenyataan itu memaklumkan selain Turkiye negara sumber lain yang berpotensi adalah Rusia dan Amerika Syarikat.

"Walau bagaimanapun, kedua-dua negara berkenaan sedang dalam proses penilaian risiko bagi mendapatkan kelulusan kawasan bebas penyakit daripada DVS bagi menangani isu penyakit Influenza Burung Sangat Patogenik (HPAI),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, DVS memaklumkan pada 2021 pengimportan ayam belanda (termasuk ayam belanda segar, sejuk dan beku, potongan dan ofal) ke Malaysia yang diluluskan oleh jabatan itu hanya dari negara Amerika Syarikat.

Pada 2023, DVS telah meluluskan pengimportan ayam belanda (termasuk ayam belanda segar, sejuk dan beku, potongan dan ofal) dari Turkiye dan pengimportan berterusan hingga kini.

Menurut kenyataan itu hingga kini, tiada kelulusan untuk pengimportan ayam belanda (termasuk ayam belanda segar, sejuk dan beku, potongan dan ofal) dari Hong Kong, Kanada, Brazil, China dan Jerman.

"DVS juga ingin memaklumkan bahawa jabatan ini sentiasa komited dalam memastikan bekalan makanan dalam bentuk ternakan sentiasa mencukupi, terjamin kualitinya serta selamat dimakan oleh rakyat negara ini,” menurut kenyataan itu. - Bernama

: