Atlet muda lawan pedang beradu tenaga di Bukit Kiara

Iklan
Nordin (kanan) dan Cek Wlong (kiri) bersama pemenang Kategori Bawah 8 dan 10 tahun pada Kejohanan Lawan Pedang Antarabangsa Touche Minime 2020 di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini. - Foto ROSLI TALIB

LEBIH 220 atlet lawan pedang dari sembilan negara menyahut cabaran pada Kejohanan Lawan Pedang Antarabangsa Touche Minime 2020 di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini.

Pengerusi jawatankuasa penganjur, Nordin Abdullah berkata, kejohanan melibatkan kategori umur lapan hingga 15 tahun itu mempertaruhkan tiga disiplin utama iaitu foil, epee dan saber dalam kategori individu dan berpasukan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejohanan dua hari yang diadakan sempena sambutan Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Tahun Melawat Malaysia 2020 berjaya menarik penyertaan peserta dari Australia, Jepun, Korea Selatan, Thailand, Indonesia Filipina, Singapura, Hong Kong selain Malaysia selaku tuan rumah.

"Kajian kami menunjukkan sukan pelancongan melibatkan atlet remaja mempunyai potensi berganda kerana mereka melakukan perjalanan dengan ibu bapa dan juga jurulatih, sekali gus meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dan penginapan di hotel di negara ini.

Iklan

"Malah, sukan dipertandingkan di Olimpik ini juga antara sukan yang paling pesat berkembang di negara ini. Jadi kita perlu melihat kejohanan seperti ini sebagai medan pembangunan atlet muda bagi mewakili negara ke Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik pada masa depan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Kelab Lawan Pedang Touche, Mok Cek Wlong berkata, kejohanan sedemikian wajar dimanfaatkan atlet muda negara kerana sebelum ini mereka terpaksa ke luar negara untuk mendapatkan pendedahan pertandingan peringkat antarabangsa.

Iklan

"Saya harap pendedahan ini dapat meningkatkan lagi tahap kemampuan mereka bersaing bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa. Kita juga merancang menjadikan kejohanan ini sebagai salah satu acara tahunan dalam kalendar pembangunan sukan lawan pedang remaja," katanya.

Kejohanan edisi pertama itu turut mendapat sokongan Persekutuan Lawan Pedang Malaysia (MFF), Persatuan Lawan Pedang Amatur Wilayah Persekutuan (FTAFA), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Tourism Malaysia serta sokongan 100Plus dan Forum Perniagaan Global Malaysia (MGBF).