Pertukaran cuti hujung minggu di Johor legakan banyak pihak - Aminolhuda

Iklan
Aminolhuda

JOHOR BAHRU - Pertukaran cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad melegakan banyak pihak yang sebelum ini terpaksa berdepan cuti yang tidak selari dengan negeri lain dan di peringkat Persekutuan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pertukaran cuti hujung minggu juga akan mewujudkan cuti yang selari bagi pihak swasta dan kerajaan di negeri ini.

Iklan
Iklan

"Tindakan ini mampu menamatkan isu sesi persekolahan di negeri ini berkaitan kehadiran murid pada Ahad yang difahamkan terdapat statistik kurang memuaskan pada hari berkenaan.

"Faktor itu didorong akibat cuti yang tidak selari antara ibu, bapa dan murid yang membuatkan terdapatnya ketidakhadiran ini berlaku dalam kalangan murid,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, penyelarasan tersebut juga akan memberi impak positif terhadap ekonomi.

"Penyelarasan cuti Sabtu dan Ahad selari dengan kerajaan Persekutuan dan juga negara lain termasuk Singapura akan memberikan impak yang positif dalam pembangunan ekonomi Johor,” katanya.

Iklan

Pada Isnin, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail mengumumkan cuti hujung minggu di negeri ini akan ditukar semula kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari 2025.

Tunku Mahkota Ismail bertitah, perkara tersebut mendapat perkenan dan restu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor melaksanakan cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar Johor.