KUALA LUMPUR - Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) memfailkan pernyataan pembelaan dan tuntutan balas susulan saman difailkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.
Peguam mewakili MHO, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, permohonan injunksi interim secara inter-parte atau kedua-dua pihak telah dipanggil untuk pengurusan dan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Khamis lalu.
Beliau berkata, kedua-dua pihak telah bersetuju secara bersama bahawa posting yang dibuat MHO sebelum ini akan dibiarkan turun, sementara menunggu pelupusan perbicaraan penuh tindakan saman fitnah difailkan Mashitah.
Katanya, perintah injunksi interim adalah dimasuki tanpa menjejaskan hak MHO dan dua defendan yang lain untuk mencabar dan membatalkan keseluruhan tindakan Mashitah melalui perbicaraan penuh kelak.
"Ia adalah lebih teratur dan bagus untuk membangkitkan bantahan yang perlu serta menjawab isu-isu yang dibangkitkan plaintif (Mashitah) berkaitan dakwaan fitnah itu secara meritnya pada perbicaraan penuh kelak.
"Ini juga untuk menjimatkan kos dan masa kesemua pihak yang terlibat terutamanya masa pihak mahkamah," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa.
Hadir sama, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim dan aktivis MHO, Azirul Syafiq.
Sebelum ini, media melaporkan MHO dan dua jawatankuasanya diperintah memadamkan kenyataan didakwa berunsur fitnah mengaitkan Mashitah dengan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.
Mengulas lanjut, Mohamed Haniff berkata, mana-mana permohonan injunksi interim tidak melibatkan keputusan atas merit dakwaan atau tuntutan, akan diputuskan di hujung perbicaraan penuh kelak.
Katanya, MHO dan dua defendan lain telah bersetuju dengan satu perintah injunksi interim secara persetujuan tersebut berdasarkan kepada beberapa syarat yang juga dipersetujui secara bersama dengan pihak plaintif.
Menurut beliau, pertamanya perintah injunksi interim adalah dimasuki tanpa menjejaskan hak MHO dan dua defendan yang lain untuk mencabar dan membatalkan keseluruhan tindakan Mashitah melalui perbicaraan penuh kelak.
"Keduanya, MHO dan dua defendan lain serta plaintif telah bersetuju satu tarikh perbicaraan awal akan ditetapkan bagi tindakan ini menurut keselesaan dan kesesuaian mahkamah.
"Seterusnya, bahawa Mashitah akan mempapaskan MHO dan dua defendan yang lain dengan ganti rugi seperti yang ditaksirkan dan dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam kepada MHO dan defendan-defendan yang lain sekiranya perintah injunksi interim secara persetujuan itu adalah dibatalkan atau diakaskan selepas pelupusan perbicaraan penuh kelak," ujarnya.