‘Kian Ming sepatutnya belajar soal perjuangan bahasa Melayu dilakukan Anwar’

Iklan
Sebelum ini Kian Ming menyarankan kerajaan supaya mencari idea yang lebih kreatif dan positif dalam usaha meningkatkan penggunaan serta pemahaman bahasa Melayu secara meluas. Gambar kecil: Fahmi

SHAH ALAM - Penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan penjawat awam mahupun golongan elit sepatutnya menyedarkan rakyat bahawa itu realiti yang terjadi di negara ini.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata, kenyataan bekas Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Dr Ong Kian Ming sebelum ini sepatutnya tidak dikeluarkan kerana ia seolah-olah merendahkan perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan.

Iklan
Iklan

"Kian Ming tidak sepatutnya bersifat jumud dalam memberikan pandangan malah beliau sepatutnya belajar soal perjuangan bahasa Melayu yang dilakukan Anwar (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).

"Sewaktu berada di bangku universiti, Anwar telah memberikan sumbangan besar dengan menubuhkan Yayasan Anda Akademik bagi pelajar yang kurang berkemampuan.

Iklan

"Yayasan ini melahirkan ramai anak bangsa yang berjaya dalam pelbagai bidang, malah ada dalam kalangan alumni penuntutnya menjadi tokoh terkenal negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Fahmi turut berkongsi pengalaman Anwar yang merupakan pejuang bahasa Melayu tanpa mengenal erti penat.

Iklan

"Perdana Menteri mengetuai kempen menobatkan bahasa itu di Universiti Malaya dengan melakukan protes mengecat papan tanda yang menggunakan bahasa Inggeris.

"Bukan hanya aktif di Universiti Malaya malah Anwar merupakan anggota Jawatankuasa Penaja Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1968 bagi mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia pada masa itu.

"Ketika menjadi PMX pula, Anwar memperkenalkan pelbagai dasar pro-Melayu dalam kurikulum sekolah kebangsaan. Salah satu perubahan besar beliau ialah untuk menamakan semula bahasa kebangsaan dari bahasa Malaysia kepada bahasa Melayu,” tambahnya.

Sebelum ini, Kian Ming mencadangkan kerajaan untuk mencari idea yang lebih kreatif dan positif dalam usaha meningkatkan penggunaan serta pemahaman bahasa Melayu secara meluas.

Beliau selaku individu yang banyak pengalaman dari segi berinteraksi dalam bahasa kebangsaan dengan mantan pengundi Parlimen Bangi suatu ketika dahulu amat menyokong penggunaannya sebagai alat komunikasi utama di negara ini.

Kian Ming sebelum ini berkata, beliau tidak pasti mengapa Anwar mesti menyasarkan kumpulan tertentu apabila ingin menonjolkan kepentingan bahasa Melayu sedangkan sudah tentu ramai individu dalam dunia korporat berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris kerana ia amalan biasa.

Pada 6 Oktober lalu, Anwar ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh menegur segelintir kelompok elit yang taasub dengan bahasa Inggeris sehingga meremehkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, sikap obsesi dan keghairahan kelompok tersebut yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan bahasa Inggeris adalah salah.