'Kami dah letih cuci rumah berkali-kali'

Iklan
Mazni dan suaminya, Abdul Razak membersihkan rumah mereka di Kampung Alor Madi pada Selasa.

ALOR SETAR - Penduduk di Kampung Alor Madi di sini mengeluh letih kerana perlu mengemas dan mencuci rumah berkali-kali selepas kediaman mereka dilanda banjir buat kali ketiga.

Malah, mereka juga runsing memikirkan kerugian dialami memandangkan perabot dan lain-lain peralatan rosak akibat bencana tersebut.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Zain Mohd Rizal Ramli, 48, berkata, setakat ini dia sudah mengalami kerugian kira-kira RM2,000 setelah rumahnya dinaiki banjir sebanyak tiga kali sejak 17 September lalu.

"Banyak barang yang sudah dibuang antaranya karpet dan almari. Bukan hanya barang yang rosak, kami juga dah letih mencuci rumah berkali-kali," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Iklan

Menurut Zain, mereka mengambil keputusan untuk terus meletakkan barangan elektrik di tempat tinggi bagi mengelakkan ia rosak ditenggelami banjir.

Zain menyusun barangan rumahnya di tempat tinggi untuk mengelakkan ditenggelami air banjir.

"Cuma rumah terpaksa juga dicuci bagi mengelakkan berbau busuk akibat lumpur," katanya.

Iklan

Jelasnya, paling merisaukan ketika ini adalah kesihatan ibunya, Fatimah Ismail, 85, yang tidak kuat berjalan.

"Untuk keselamatan ibu, saya tempatkan dia di rumah abang di Taman Aman di sini buat sementara waktu sehingga keadaan kembali stabil," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin Abd Wahid, 57, berkata, penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Kedah dan Sungai Anak Bukit dinasihatkan menjaga kebersihan dan tidak membuang sampah ke dalam sungai.

"Selepas hujan, biasanya kita dapat tengok sampah-sampah tersangkut di jambatan utama yang merentasi sungai bagi menghubungkan Kampung Alor Madi serta Taman Aman.

"Nasib baik pihak berwajib sering bersihkannya. Kadang-kadang penduduk menolak sampah-sampah tersebut menggunakan buluh bagi melancarkan aliran air," katanya.

Turut senada, seorang warga emas, Mazni Ahmad, 70, yang berharap orang ramai dapat sama-sama bertanggungjawab menjaga kebersihan sungai.

"Saya dan suami, Abdul Razak Din, 73, bukannya kuat sangat tetapi kami tidak mengambil jalan mudah dengan membuang sampah ke dalam sungai.

"Harap semua pihak sama-sama ambil berat supaya ia tidak memburukkan lagi keadaan banjir di kawasan ini," katanya.