Pengurus syarikat kontraktor pembinaan didenda RM40,000 guna dokumen palsu

Iklan
Seorang pengurus operasi sebuah syarikat kontraktor pembinaan didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan kuota pekerja asing di Malaysia, dua tahun lepas. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus operasi sebuah syarikat kontraktor pembinaan didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menggunakan dokumen palsu dalam permohonan kuota pekerja asing di Malaysia, dua tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Ang Bak Pei, 46, dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan, jika gagal membayar denda.

Iklan
Iklan

Bak Pei didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu Contract for The Provision of Cleaning Services antara syarikatnya Star Domain Resources Sdn Bhd dan Badan Pengurusan Bersama Monash University Sunway Campus Malaysia yang telah dikemukakan di dalam Permohonan Kuota Pekerja Asing di Malaysia.

Lelaki itu turut didakwa menggunakan dokumen sama antara Star Domain Resources Sdn Bhd dan Badan Pengurusan Bersama OSK Trustees Berhad site: Axis Business Park yang telah dikemukakan di dalam Permohonan Kuota Pekerja Asing di Malaysia, iaitu tertuduh tahu bahawa ia adalah dokumen palsu.

Iklan

Kedua-dua kesalahan dilakukan di Kementerian Sumber Manusia, Kompleks D, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya pada 14 Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Iklan

Mengikut fakta kes, tertuduh sebagai Pengurus Operasi Syarikat Star Domain Resources Sdn Bhd telah membuat permohonan eQuota kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia pada 2022 hingga 2023 bagi mendapatkan surat kelulusan bersyarat penggajian pekerja asing dari Bangladesh.

Syarikat itu kemudian telah membuat permohonan kuota pekerja asing sebanyak 980 kepada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia dan 980 kuota terbabit telah diluluskan pada 26 Julai 2022.

Bagaimanapun, didapati tertuduh telah mengemukakan dua dokumen kontrak kerja perkhidmatan pembersihan palsu bagi membuat permohonan berkenaan dan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Fatin Farhana Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Wan Shahrizal Wan Ladin. - Bernama