Malaysia sedia bekerjasama dengan UNESCAP promosi pelaburan - Tengku Zafrul

Iklan
Tengku Zafrul. Foto Bernama

VIENTIANE - Malaysia sedia meneroka peluang kerjasama dengan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UNESCAP) dalam mempromosi pelaburan dan pelaburan hijau.

Perkara itu disampaikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz kepada Setiausaha Eksekutif UNESCAP, Armida Alisjahbana dalam satu pertemuan, di sini hari ini, bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan.

Iklan
Iklan

Menurut Tengku Zafrul, Malaysia yang akan mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2025, ingin bekerjasama dengan UNESCAP untuk inisiatif masa hadapan seperti Lawatan Kajian Agensi Promosi Pelaburan pada tahun depan.

Beliau turut menekankan kemajuan Malaysia dalam sektor perindustrian melalui beberapa dasar seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan.

Iklan

UNESCAP adalah satu daripada lima suruhanjaya serantau PBB yang mempromosikan pembangunan inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Suruhanjaya itu terlibat dengan ASEAN melalui pelbagai inisiatif seperti bengkel promosi pelaburan dan projek pelaburan hijau.

Iklan

Tengku Zafrul tiba di Vientiane pada 6 Oktober untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN serta Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula hari ini hingga 11 Oktober.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka tiba di ibu negara Laos malam ini untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Selain ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN, pemimpin dari negara Rakan Dialog ASEAN dijangka turut hadir, antaranya Perdana Menteri China Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken.

Semasa Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan Pengerusi kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025. - Bernama