UiTM, Tiquar Enterprise jalin kerjasama tingkat minat pelajar dalam STEM

Iklan
Dari kiri, Jamalunlaili, Shahrin, Mohd Nazrin dan Aini Arifah pada Majlis Menandatangani MoU di UiTM Shah Alam pada Selasa.

SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan pemegang lesen rasmi F1 in Schools Malaysia, Tiquar Enterprise menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai simbolik kerjasama untuk meningkatkan minat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Majlis berlangsung di Pejabat Canseleri UiTM Shah Alam itu juga menandakan komitmen kedua-dua pihak untuk mengatasi masalah penurunan minat pelajar dalam aliran STEM di peringkat sekolah menengah melalui platform yang lebih menarik dan interaktif.

Iklan
Iklan

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menyifatkan program F1 in Schools telah berjaya mencipta kejayaan sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

"Pasukan Malaysia memenangi anugerah khas di F1 in Schools World Finals 2023 di Singapura, manakala pada 2022, pasukan kita berjaya meraih tiga anugerah khas di pertandingan yang diadakan di United Kingdom secara hibrid," ujarnya pada Majlis Menandatangani MoU di UiTM Shah Alam pada Selasa.

Iklan
Peserta yang mewakili negara turut hadir pada Majlis Menandatangani MoU di UiTM Shah Alam pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni), Prof Dr Jamalunlaili Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tiquar Enterprise, Mohd Nazrin Zulkifli selaku In Country Coordinator, F1 in Schools Malaysia.

Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Berasrama Penuh Unit STEM, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Aini Arifah Abdul Karim.

Iklan

F1 in Schools diasaskan di United Kingdom oleh Andrew Denford pada tahun 2000, merupakan salah satu program yang diterapkan dalam pendidikan STEM di sekolah-sekolah.

Pertandingan itu memberi peluang kepada pelajar untuk merekabentuk dan menghasilkan kereta miniatur berkuasa CO2 yang berlumba di trek sepanjang 20 meter.

Selain itu, pelajar juga diajar menggunakan simulasi komputer, pencirian grafik 2D dan 3D, serta pemasaran untuk menjayakan projek mereka melalui kolaborasi dengan rakan industri.

Shahrin berkata, UiTM turut memainkan peranan penting dalam menyediakan mentor-mentor daripada Kolej Pengajian Kejuruteraan bagi melatih pasukan yang bertanding.

Jelasnya, kerjasama itu melibatkan Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) UiTM dan Kolej Pengajian Kejuruteraan, yang menggunakan pendekatan Quantiple Helix iaitu lima elemen utama yang menggabungkan akademia, industri, agensi kerajaan, komuniti dan orang awam.

"Melalui kerjasama ini, pelajar-pelajar didedahkan kepada pengetahuan kejuruteraan, teknologi dan pemasaran sambil berinteraksi dengan rakan strategik dari industri dan pihak kerajaan.

"Pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini bukan sahaja mendapat manfaat dalam bidang akademik tetapi juga membina kemahiran insaniah, sahsiah diri dan kepimpinan," ujarnya.

Ujarnya lagi, banyak alumni program itu berjaya dalam pelajaran sehingga ke peringkat PhD dan membina kerjaya cemerlang dengan syarikat-syarikat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, MoU antara UiTM dan Tiquar Enterprise diharap dapat memperkukuhkan lagi usaha meningkatkan minat pelajar dalam bidang STEM, selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir yang mampu memacu pembangunan negara dalam era teknologi dan inovasi yang semakin pesat.